Tidak semua pengusaha sedia buka restoran 24 jam


Noel Achariam

Sesetengah pengusaha mahu restoran mereka operasi 24 jam semula tetapi menghadapi masalah kekurangan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei 2023.

BANYAK restoran belum bersedia untuk kembali beroperasi 24 jam kerana sudah selesa dengan waktu operasi ketika ini, kata pengusaha.

Malah keputusan ini juga dibuat selepas mengambil kira ia menjimatkan kos membayar gaji pekerja, pembersihan dan utiliti, tambah mereka.

Sementara ada sesetengah pengusaha pula berhasrat mahu membuka premis mereka 24 jam semula, tetapi menghadapi masalah kekurangan pekerja.

“Tak semua pengusaha bersedia beroperasi 24 jam,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan.

Katanya tidak sampai 25% ahli Presma mahu berbuat demikian.

“Ada ahli kami di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan lain yang buka 24 jam. Ini kerana ada permintaan yang tinggi dari pelanggan di kawasan mereka. 

“Mungkin patut buka 24 jam di kawasan kilang atau tempat tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang.

“Tetapi ini semua terpulang kepada kepada pengusaha,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presma mempunyai 4,000 ahli di seluruh negara yang mengendalikan lebih 12,000 premis, menurut Jawahar.

Beliau berkata, kurang daripada 10,000 restoran beroperasi susulan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19, namun semakin banyak dibuka selepas negara beralih ke fasa endemik.

“Perniagaan meningkat sehingga 80% dan semakin pulih seperti sedia kala.

“Walaupun kami sediakan Menu Rahmah yang menelan kos RM10 hingga RM11 tetapi dijual pada harga RM5, tetapi kami masih boleh  untung,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) J Suresh berkata semua premis di bawah persatuan itu beroperasi 24 jam.

“Sekurang-kurangnya 70% ahli kami berjaya selesaikan isu pekerja baru-baru ini, jadi mereka akan mula beroperasi 24 jam semula dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya.

Seramai 1,500 ahli bernaung di bawah Primas, dan ada yang mempunyai dua hingga tiga restoran, tambah Suresh.

“Kira-kira 10% hingga 20% ahli akan buka premis 24 jam sebaik sahaja mereka dapat pekerja.

“Itupun selepas pekerja-pekerja baharu ini (kira-kira 95%) dilatih, jadi proses ini memerlukan masa,” jelasnya. – 18 Mei 2023.

Berita penuh di sini
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen