Restoran nasi kandar, nasi daun pisang tak cadang naikkan harga makanan


Ravin Palanisamy

Pengusaha restoran di bawah Presma dan Primas tidak bercadang untuk menaikkan harga jualan makanan selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang membebankan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2022.

DUA persatuan pengusaha restoran belum bercadang untuk menaikkan harga jualan makanan selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang membebankan majoriti rakyat Malaysia.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) berkata 12,000 ahli di bawah mereka, yang kebanyakannya restoran nasi kandar dan nasi daun pisang, akan mengekalkan harga buat masa ini walaupun turut merasai kesan kenaikan harga bahan mentah.

Naib Presiden Presma Abdul Mukthahir M. Ibrahim memberitahu The Malaysian Insight, langkah itu juga diambil selepas gesaan presiden persatuan itu Jawahar Ali Taib Khan baru-baru ini.

“Presiden kami menggesa supaya ahli tidak menaikkan harga makanan kerana itu hanya akan menambah beban orang ramai.

“Sudahlah harga barang pun naik, kalau naikkan harga makanan dan minuman di restoran kami sudah tentu ia tidak akan mengubah keadaan,” kata Abdul Mutakhir.

Dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insight Julai lalu, Abdul Mutakhir berkata pengusaha restoran nasi kandar terpaksa menaikkan harga makanan popular itu bagi memastikan perniagaan mereka terus ‘bernyawa’, susulan pemansuhan subsidi minyak masak botol, pengenalan harga siling baharu ayam serta kenaikan harga bahan mentah lain.

Mengulas lanjut mengenai keputusan untuk mengekalkan harga jualan makanan, beliau berkata langkah itu bagaimanapun akan diteliti semula dari masa ke semasa.

“Selagi mampu bertahan dan tidak menyebabkan kerugian besar, kami akan kekalkan harga.

“Kami akan tengok pada keadaan dulu dan akan ambil tindakan selanjutnya apabila perlu,” jelasnya.

Presma mempunyai 10,000 ahli berdaftar.

Pandangan serupa turut dikongsikan Presiden Primas J. Suresh, berkata presatuannya tidak bercadang untuk menaikkan harga jualan makanan dalam masa terdekat.

Katanya keputusan itu juga sebagai langkah bagi membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Pelanggan tidak perlu bimbang kerana kami tidak akan naikkan harga buat masa ini,” Suresh memberitahu The Malaysian Insight.

Beliau selain itu berkata Primas mengalu-alukan tindakan segera kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.

Tambahnya, kerajaan yang baru dibentuk perlu diberi masa dan peluang untuk membuat perancangan yang sewajarnya.

“Kami faham kerajaan ini baru sahaja dibentuk.

“Mereka perlukan masa dan kami harap ada berita gembira yang akan diumumkan nanti,” ujar Suresh.

Kurang pekerja

Menyentuh isu kekurangan pekerja, Abdul Mutakhir berkata masalah itu sedang diatasi secara beransur-ansur. Menurutnya, hampir 80% ahli berdaftar Presma berjaya menyelesaikan isu tersebut.

“Ahli-ahli kami dapat tangani isu pengambilan pekerja asing. Hanya 20% sahaja (ahli) masih ada masalah berkait dokumentasi,” katanya, namun yakin semuanya akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Suresh sementara itu berkata kira-kira 30% ahli Primas berjaya mengatasi isu pengambilan pekerja asing.

Beliau dalam pada itu berharap proses pengambilan pekerja akan lebih cekap dan dipercepatkan di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberikan untuk memulihkan perniagaan. – 15 Disember, 2022. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen