Restoran nasi kandar di Pulau Pinang boleh beroperasi seperti biasa, kata KM


Zaim Ibrahim

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata semua restoran termasuk yang menyedia nasi kandar dibenarkan beroperasi seperti biasa tetapi pelanggan makanan hendaklah dibungkus dan dibawa balik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

SEMUA restoran termasuk yang menyedia nasi kandar dibenarkan beroperasi seperti biasa di Pulau Pinang, kata Chow Kon Yeow.

Ketua menteri itu bagaimanapun berkata, beliau menyarankan agar pengunjung membungkus makanan dan tidak makan di dalam premis makanan berkenaan.

“Pada peringkat ini kerajaan negeri Pulau Pinang membenarkan restoran dan kedai-kedai makan (termasuk restoran nasi kandar) terus beroperasi tetapi tidak perlu makan di dalam kedai, bawa makanan balik ke rumah sahaja. 

“Itu pendirian kita. Tetapi kita perlu akur apa yg diputuskan kerajaan pusat (jika ada perubahan),” kata beliau dalam sidang media di Georgetown hari ini.

Jelas Chow, pendirian kerajaan negeri adalah selaras dengan Perintah Larangan Pergerakan supaya premis perniagaan ditutup.

“Mengikut perintah ini semua premis perniagaan ditutup, tetapi bagi kedai-kedai makanan sama ada tutup atau tidak, kita tunggu keputusan kerajaan pusat,” tambahnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai 18 hingga 31 Mac untuk membendung penularan Covid-19.

Semua rumah ibadat dan premis perniagaan akan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barangan keperluan harian.

Dalam ucapan disiarkan langsung malam tadi, Muhyiddin berkata perintah tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Setakat hari ini, Pulau Pinang mencatatkan 15 kes jangkitan Covid 19. – 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen