Nasi kandar bakal naik harga, kata pengusaha restoran


Ravin Palanisamy

Pengusaha terpaksa menaikkan harga nasi kandar ekoran peningkatan kos bahan mentah, kata Presma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2022.

PEMANSUHAN subsidi minyak masak botol, pengenalan harga siling baharu ayam serta kenaikan harga barang mentah lain memaksa pengusaha restoran nasi kandar menaikkan harga makanan popular itu bagi memastikan perniagaan mereka terus ‘bernyawa’, kata persatuan.

Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Abdul Mukthahir M Ibrahim berkata pengusaha mungkin akan menaikkan harga nasi kandar antara 50 sen hingga RM1.

Peningkatan kos bahan mentah menyebabkan pengusaha tiada pilihan selain menaikkan harga makanan, kata Abdul Mukthahir.

“Harga barang semua dah naik. Mahu tak mahu kami pun terpaksa jugalah naikkan harga.

“Kenaikan ini juga bergantung pada lokasi restoran. Kalau di Bangsar, Kuala Lumpur harga mungkin naik sekitar RM1 sebab sewa di sana lebih mahal, tetapi kalau di Tanjung Malim di Perak mungkin naik 50 sen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemilik Restoran Salam Sentosa itu berkata ketika ini harga jualan nasi kandar bersama seketul ayam dan sayur adalah RM7.50 termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Harga itu akan naik sama ada kepada RM8 atau RM8.50 mulai bulan depan, tambahnya.

Jelasnya lagi, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana selain harga ayam, telur dan minyak, harga sayuran dan rempah-ratus yang diimport dari India juga meningkat.

“Kami guna banyak rempah dalam masakan dan harganya naik dua ke tiga kali ganda.

“Misalnya harga sekilogram buah pelaga sebelum ini RM71, tetapi sekarang dah naik kepada RM150.

“Kalau dulu seikat daun kari harganya cuma RM3, sekarang dah jadi RM10. Cili padi 10kg sekarang naik daripada RM38 kepada RM100.

“Jadi, mahu tak mahu kami terpaksa juga naikkan harga jualan,” kata kata Abdul Mutakhir.

Tambah beliau, selain kenaikan harga bahan mentah, pengusaha juga perlu membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja. – 1 Julai, 2022.  

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen