Menu Rahmah dapat sambutan menggalakkan pengusaha restoran


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Program Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidupmendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha restoran dan peniaga makanan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Februari 2023.

PROGRAM Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan perpaduan bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha restoran dan peniaga makanan.

Walau tidak memberi banyak untung kerana setiap menu dijual pada harga RM5 ke bawah, namun pengusaha yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata mereka bersedia menyahut seruan kerajaan bagi membantu orang ramai terutamanya golongan B40 membeli makanan pada harga yang berpatutan.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata kesemua 15 cawangan persatuan itu di sekitar Lembah Klang menawarkan Menu Rahmah untuk pelanggan.

“Kami menawarkan set hidangan RM5 terdiri daripada nasi putih bersama sayur dan ikan atau ayam, serta air teh-o, air suam atau air minuman botol.

“Kalau ikutkan harga biasa RM10.30 hingga RM11, tetapi kami sahut seruan kerajaan untuk bantu rakyat,” katanya.

Jawahar Ali berkata hidangan Menu Rahmah boleh didapati bermula 12 tengah hari hingga 3 petang.

“Kebanyakan restoran kami menerima sehingga 50 pelanggan yang datang untuk mendapatkan Menu Rahmah. Walaupun dijual pada harga rendah tetapi bahan, rempah ratus dan sukatan semuanya dikekalkan, kami tidak berkira.”

Menurutnya, Presma memiliki 12,000 ahli di seluruh negara kecuali Sarawak, dan 30% daripadanya menyertai program Menu Rahmah.

“Kami akan terus menggalakkan semua ahli untuk menyertai program ini kerana inilah masanya untuk kita bantu rakyat yang dibelenggu kos sara hidup yang tinggi.

“Setakat ini kami tidak menerima sebarang aduan. Semua ahli telah diberitahu supaya menyediakan makannan yang sedap dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.

Hidangan lengkap berlaukkan ikan atau ayam dan sayur berserta minuman kini boleh didapati pada harga RM5 di bawah program Menu Rahmah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Februari 2023.

Sementara itu, Menu Rahmah juga ditawarkan di 28 pasar raya besar Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di seluruh negara.

“Set makan tengah hari dan malam berserta air mineral 500ml dijual pada harga RM4.90 berbanding sebelum ini sekitar RM8.90. 

“Menu yang ditawarkan juga berbeza setiap hari. Kami berharap melalui cara ini kami dapat membantu pelangganyang berada dalam kumpulan B40 dan M40,” kata Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin.

Tambahnya, Menu Rahmah juga boleh didapati di dua cawangan Mydin di Kuching, Sarawak dan cawangan tunggal di Sandakan, Sabah.

Beliau selain itu berkata Menu Rahmah turut dijual di medan selera Mydin yang mengambil bahagian.

Menurut Ameer, selain makan tengah hari dan malam, Mydin juga menawarkan sarapan pagi seperti mi goreng, kuey teow goreng dan nasi lemak pada harga hanya RM2.50 sepinggan manakala 3 kuih-muih tempatan juga dijual pada harga yang sama. Menu Rahmah untuk sarapan pagi di Mydin boleh didapati bermula 8 hingga 10 pagi setiap hari.

Sejak mula dilancarkan pada 1 Februari, 20% pelanggan Mydin mendapatkan Menu Rahmah, tambah Ameer.

Lebih menjimatkan

Menu Rahmah turut menarik minat seorang guru dari Tampin, R. Malar, 47, yang bercadang untuk mendapatkannya di pasar raya besar Mydin berdekatan rumahnya.

“Saya ada tengok poster Menu Rahmah, dan ingin mencuba kerana harganya murah.

“Mereka jual pada harga RM5 ke bawah, yang pada saya sangat berpatutan. Biasanya saya perlu belanja RM10 atau lebih untuk satu hidangan. Jadi bagi saya Menu Rahmah ini sangat berbaloi untuk dicuba,” katanya.

Bagi Mohd Arif Hishamudin, 44, Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan perpaduan untuk membantu rakyat harus dipuji.

Pengawal keselamatan di Kuala Terengganu itu berkata kebiasaannya beliau kini boleh berjimat berbanding sebelum ini terpaksa berbelanja antara RM10 hingga RM15 sehari untuk membeli makanan.

Katanya kos sara hidup di tempatnya sama sahaja seperti dengan di Kuala Lumpur.

“Biasanya kalau beli nasi berlaukkan sayur, ayam atau ikan dan air boleh cecah sampai RM10 atau lebih,” katanya.

Pekerja kedai pakaian, Haniza, 29, juga berkata Menu Rahmah sangat berbaloi dan lebih menjimatkan berbanding makanan yang dimasak di rumah.

“Kosnya lebih tinggi kalau kita masak sendiri, tambah-tambah lagi makan masa. Balik dari kerja badan pun dah letih nak memasak.

“Menu Rahmah menjimatkan duit dan pada masa yang sama menjimatkan masa serta tenaga. Jadi sekarang saya cuma memasak pada hujung minggu,” katanya. – 8 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen