Bekas pembantu dakwa Mukhriz berbohong tentang Cambridge Analytica


Ketua SCL Group Southeast Asia itu berkata bekas menteri Kedah itu berbohong mengenai perkhidamatan yang diberikan syarikatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

AZRIN Zizal berkata bekas majikannya Mukriz Mahathir berbohong dalam kenyataannya yang menafikan tidak menerima sebarang nasihat daripada Cambridge Analytica (CA) pada Pilihan Raya Umum 2013.

Ketua kumpulan SCL Group di Asia Tenggara itu berkata bekas menteri Kedah itu berbohong mengenai perkhidmatan yang diberikan syarikatnya. 

“Nasihat pilihan raya umum 2013 untuk Kedah diberikan secara peribadi kepada Mukhriz. 

“Sudah tiba masanya untuk Mukhriz berhenti memutarbelitkan fakta semata-mata untuk menyelamatkan dirinya, dan berlaku jujur,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Azrin berkata Mukhriz juga berbohong mengenai CA bekerja untuk Barisan Nasional (BN).

“Ini juga tidak betul. Tidak pernah pada bila-bila masa pun Cambridge Analytica atau syarikat induknya SCL Group bekerja untuk BN atau dibayar oleh BN atau mana-mana jabatan kerajaan Malaysia,” katanya. 

The Malaysian Insight kini sedang cuba menghubungi Mukhriz bagi mendapatkan respons. 

Semalam, Mukhriz menafikan sebanyak dua kali ada menggunakan perkhidmatan CA sewaktu memimpin jentera BN Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

Beliau yang kini bersama Bersatu, berkata tidak tahu menahu mengenai syarikat tersebut walaupun syarikat berkenaan mendakwa pernah membantu BN Kedah melalui mesej kempen bersasaran yang menonjolkan penambahbaikan sekolah sejak 2008  

“Masa itu saya mengetuai jentera pilihan raya BN Kedah. Masa PRU13 lepas, kemenangan kami adalah (hasil) strategi dan taktik yang kami pakai untuk tewaskan kerajaan PAS ketika itu tapi tak pernah sekali pun kami dihubungi oleh CA ini.

“Jadi dan apa juga yang kami lakukan atas inisiatif sendiri dengan idea di kalangan usaha sendiri tanpa bantuan daripada CA,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa firma tersebut diupah oleh parti tersebut di peringkat tertinggi.

BN menafikan pernah menggunakan perkhidmatan CA tetapi berkata yang syarikat berkenaan ada mengesahkan yang ia memberikan nasihat kepada Mukhriz pada PRU13 semasa beliau masih dalam parti itu.

Azrin berkata kenyataan Mukhriz bahawa beliau (Azrin) hanya menjadi pegawai medianya sehingga 2013 dan tidak bersamanya selepas menjadi menteri besar Kedah adalah tidak benar. 

“Saya bekerja dekat dengan Mukhriz dan memberikan nasihat strategi dan komunikasi untuk beliau sehingga 2015, termasuk pada Pilihan Raya Umum 2013, dan selepas beliau menjadi menteri besar. Saya akan sediakan bukti jika dia berterusan cuba memutarbelikan fakta,” katanya. 

Bagaimanapun, laman Wikipedia CA menunjukkan syarikat itu ditubuhkan pada 31 Disember 2013, lebih setengah tahun selepas PRU13. – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • nak menang, macam2 cara la dia guna. mengarut je anak beranak ni. hahahaha.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan