Anwar puas hati prestasi Azam Baki


Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 berikutan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2023.

PENGGAL jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilanjutkan setahun kerana prestasinya memuaskan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata beberapa faktor diambil kira termasuk kelakuannya semasa menjalankan tugas.

Beliau berkata Azam dilantik semasa penggal bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi kerja, saya bagi kelonggaran dan wewenang sepenuhnya kepada SPRM dan juga peguam negara untuk menjalankan tugas.

“Dan setakat ini, saya lihat mereka jalankan tugas dengan memuaskan.

“Atas dasar itu kami memutuskan untuk meneruskan khidmatnya,” kata Anwar kepada pemberita pagi ini sambil menghuraikan lanjutan kontrak di Putrajaya hari ini.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 berikutan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan PH.

Lanjutan yang diumumkan Rabu lalu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Muda Selangor yang menyatakan adalah ironis apabila pemimpin Pakatan Harapan menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki pada Januari tahun lepas apabila timbul kontroversi mengenai pemilikan saham.

Bekas ahli lembaga penasihat SPRM Edmund Terence Gomez juga berkata lanjutan kontrak itu “merosakkan” kredibiliti Anwar.

“Bagaimana kontraknya (Azam) boleh dilanjutkan apabila reputasinya dipersoalkan? Lanjutan kontrak ini terletak di bawah seorang perdana menteri yang bercakap tentang menghapuskan rasuah.

“Ia satu kerosakan serius terhadap (kredibiliti) Anwar dan beliau perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan lanjutan itu,” katanya kepada portal Free Malaysia Today hari ini.

Gomez meletak jawatan daripada panel penasihat SPRM pada Disember 2021 berikutan laporan mengenai dakwaan terhadap Azam berhubung isu pemilikan saham korporat secara meluas walaupun terdapat had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti untuk kakitangan awam.

Azam berkata, dia memberi kebenaran kepada adiknya untuk membeli saham menggunakan akaunnya pada 2015, dan pihak atasannya dimaklumkan mengenai perkara itu.

Ketika Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan panel penasihat SPRM membersihkan Azam daripada salah laku, beberapa kumpulan pemantau dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa siasatan dibuka berhubung perkara itu. – 15 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen