PERHIMPUNAN Kebangsaan Ecuador pada Selasa meluluskan resolusi untuk meneruskan prosiding pemecatan Presiden Ecuador Guillermo Lasso atas tuduhan penyelewengan.
Resolusi itu mendapat sokongan 88 daripada 116 ahli Parlimen yang hadir.
Lasso dan pihak pembangkang masing-masing perlu memberi keterangan kepada dewan sebelum berdepan undian pusingan akhir yang boleh mengakibatkan penyingkirannya daripada jawatan itu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut parti pembangkang, Lasso dituduh mengabaikan dakwaan penyelewengan berhubung kontrak antara syarikat milik kerajaan Flota Petrolera Ecuatoriana dan syarikat swasta Amazonas Tanker yang mengakibatkan kerugian.
Lasso yang menafikan tuduhan itu berkata kerajaannya membuat perubahan yang menguntungkan dalam perjanjian itu yang ditandatangani lama sebelum beliau memegang jawatan.
Tindakan itu adalah yang pertama dalam tempoh 44 tahun, menyaksikan seorang presiden menghadapi kemungkinan pemecatan oleh Perhimpunan Kebangsaan.
Sebanyak 92 undi atau dua pertiga daripada 137 ahli Parlimen diperlukan untuk memecat presiden dalam undian pusingan akhir hujung bulan ini. Parti pembangkang kini berpecah sama ada untuk menyokong pemecatan itu. – Bernama, 10 Mei, 2023.
Komen