Bekas presiden Kosovo dibicarakan atas tuduhan jenayah perang


Bekas presiden Kosovo Hashim Thaci dituduh melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan semasa perang 1998-1999 dengan Serbia. – Gambar AFP, 4 April 2023.

PERBICARAAN bekas presiden Kosovo Hashim Thaci,52, yang didakwa atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan semasa perang 1998-1999 bermula di mahkamah khas di The Hague pada Isnin.

Thaci, dituduh melakukan jenayah itu semasa perang 1998-1999 dengan Serbia.

Turut didakwa bekas speaker parlimen Kadri Veseli, bekas jurucakap Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) Jakup Krasniqi dan bekas komander KLA Rexhep Selimi.

Mereka didakwa kerana melakukan pembunuhan, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan penahanan secara haram, menurut Agensi Anadolu.

Thaci memberitahu mahkamah beliau memahami pertuduhan terhadapnya dan mengaku tidak bersalah.

Veseli, Krasniqi dan Selimi turut menafikan tuduhan tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Charles Smith yang dijalankan dalam bahasa Albania, Serbia dan Inggeris itu disiarkan secara langsung di laman sesawang mahkamah.

Menurut Smith perbicaraan itu dijangka akan mengambil masa yang lama.

Pendakwa raya mengesahkan bahawa mereka memerlukan lebih 700 jam bekerja untuk menyoal 320 saksi dan masa tambahan untuk menyoal saksi pendakwaan.

Mahkamah khas itu yang dikenali sebagai Pejabat Khas Kosovo dan Pejabat Pendakwa Raya ditubuhkan di The Hague pada 2011 untuk menyiasat dan mendakwa jenayah perang yang didakwa telah dilakukan di Kosovo pada 1998-2000. – Bernama, 4 April 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen