Riuh tak tentu hala isu pecat penjawat awam


The Malaysian Insight

Kenyataan Mukriz Mahathir tentang pembangkang akan memecat penjawat awam yang menyokong Umno seharusnya diraikan pemimpin Umno, bukannya melatah tak tentu hala. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.

RASA tidak selamat tidak ada hujungnya dalam Umno. Pemimpinnya kalau berjalan ternampak sombong, kalau bercakap bunyinya berdegar-degar tetapi cuba ada ada laporan atau artikel yang tidak ngam dengan naratif mereka, nah, mereka mula melatah.

Ambil saja ucapan Mukhriz Mahathir yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) akan memecat penjawat awam sekiranya gabungan itu dapat mandat dalam pilihan raya, kononnya berhubung sokongan mereka kepada kerajaan hari ini.

Mukhriz hanyalah seorang pemimpin pembangkang yang menggariskan agenda partinya. Lumrah bagi ahli politik di mana-mana pun di serata dunia kecuali nampaknya di Malaysia.

Diam-diam, pemimpin Umno terganggu dengan apa yang dikatakan oleh Mukhriz dan dengan media kerana menyiarkan kenyataannya itu. Mereka mengugut mahu mengambil tindakan ke atas media, blah blah blah. Tuan-tuan faham apa maksudnya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor memberikan pandangannya tentang isu berkenaan. Komennya kepada wartawan semalam pendek saja, “...tidak tahu di mana letak sense mereka.” Beliau kemudian merungut tenaga kerja perkhidmatan awam yang adakalanya tidak mencukupi.

Inilah yang jadi tanda tanya.

Kenyataan Mukhriz itu boleh menjejaskan PH kerana ia barangkali akan menyebabkan perkhidmatan awam menyokong Barisan Nasional (BN).

Kenapa mengecam media kerana menyiarkan kenyataan Mukhriz? Kenapa ugut hendak hantar notis undang-undang? Kenapa pula sampai minta laporan itu dipadamkan sedangkan ia diberi liputan meluas dan dikritik di ruang lain?

Bagi sebuah parti yang luar biasa yakinnya akan menang pilihan raya dan mengetepikan cabaran pemimpin berumur 93 tahun dan rakan-rakannya, pemimpin Umno dan BN nampak mudah panas telinga dan rasa macam tidak selamat hendak melangkah ke pilihan raya.

Hakikatnya, pembangkang lebih sibuk menghentam parti pemerintah daripada menjelaskan manifesto atau rancangan mereka untuk sebuah Malaysia yang lebih sejahtera. 

Hakikatnya, parti pemerintah ada peluang lebih baik untuk kekal di Putrajaya daripada ditumbangkan pada pilihan raya ini.

Atau begitulah ceritanya, apabila parti pemerintah ke hulu ke hilir menjaja janji-janji serupa lima tahun lalu.

Makanya, kenapa hendak panas punggung dan melatah dengan komen seorang pemimpin politik yang pada suatu masa dulu adalah juga sebahagian daripada kalian?

Mungkin kata-kata Ku Nan itu sesuai untuk menggambarkan mereka ini: “...tidak tahu di mana letak sense mereka.” – 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen