Agensi mula cari pembantu rumah di 5 negara lain


Noel Achariam

Negara sedang menghadapi kekurangan 20,000 pembantu rumah dan daripada 100,000 pembantu pada masa ini, kebanyakannya dari Indonesia dan Filipina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2023.)

AGENSI pekerjaan mula mencari pekerja dari lima negara lain bagi menyelesaikan masalah kekurangan pembantu rumah di Malaysia.

Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) ahli persatuan itu sedang cuba mencari pembantu rumah dari Timor Leste, Bangladesh, Kemboja, Nepal dan Myanmar selain negara sumber seperti Indonesia dan Filipina.

Presiden PAPA Foo Yong Hooi berkata pada masa ini negara menghadapi kekurangan 20,000 pembantu rumah.

“Ada permintaan untuk mendapatkan pembantu rumah, tetapi kami tiada calon pekerjanya.

“Kami sudah berhubung dengan agensi di lima negara berkenaan untuk membawa masuk pembantu rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pada masa ini ada lebih 100,000 pembantu rumah di Malaysia dan kebanyakannya dari Indonesia dan Filipina, dengan sejumlah kecil dari India dan Sri Lanka.

Foo berkata Kementerian Sumber Manusia beri kebenaran untuk mencari pembantu rumah dari lima negara itu.

“Jadi, PAPA pada masa ini sedang melakukan kaji selidik awal. Kami sudah edarkan soalan kaji selidik kepada agensi di lima negara berkenaan, minggu lalu.

“Kaji selidik itu asasnya menilai kos, seperti tiket pesawat, latihan, yuran sumber manusia dan sebagainya.

“Harapnya kami dapat lengkapkan kaji selidik itu dalam tempoh dua minggu.

“Objektif kami ialah mengurangkan kos membawa masuk pembantu rumah asing. Itu antara sebabnya kami mencari pembantu rumah di lima negara berkenaan.”

Kos ambil pembantu rumah mahal

Foo berkata pembantu rumah warga Indonesia mahal.

“Kos untuk mengambil seorang pembantu rumah dari Indonesia ialah maksimum RM15,000 jadi agensi di sana minta sehingga RM12,000 bagi seorang pembantu.

“Bagaimana agensi pembantu rumah di sini dapat untung mencukupi bagi menampung perniagaan mereka?”

Foo berkata ada agens yang enggan mengambil pembantu rumah Indonesia kerana keuntungan yang sedikit.

Katanya, sesebuah agensi perlu membelanjakan RM2,000 bagi membawa masuk seorang pembantu rumah.

“Agensi bertanggungjawab menanggung kos seperti pengangkutan dari lapangan terbang, insurans, perubatan dan makanan untuk pembantu rumah.”

Katanya, terdapat 600 hingga 700 agensi berlesen tetapi beliau tidak ada maklumat berapa ramai agensi yang aktif.

“Kadang kala, bila mereka tidak dapat pembantu rumah, mereka jadi tidak aktif.

“Ada agensi di Indonesia minta deposit RM5,000 hingga RM6,000 sebaik saja mereka beri biodata pembantu rumah.

“Semua ini kos,” katanya. – 8 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen