Keputusan kes rogol Adun Tronoh ditangguh 27 Julai


Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong didakwa merogol pembantu rumah Indonesia berusia 23 tahun pada 7 Julai 2019. – Gambar Facebook, 28 Jun, 2022.

KEPUTUSAN kes Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang didakwa atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya yang dijadualkan esok, ditangguhkan ke 27 Julai depan.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

“Ya, keputusan kes itu dibawa ke 27 Julai ini. Peguam memaklumkan perkara tersebut kepada mahkamah dan meminta ditangguhkan susulan kematian ibu kepada anak guam,” katanya.

Difahamkan, ibu kepada Yong berusia 83 tahun meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat kegagalan jantung Sabtu lepas.

Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu, Muhammad Rusdi, 51.

Hakim Abdul Wahab Mohamed sebelum ini menetapkan 29 Jun untuk keputusan sama ada Yong akan dilepaskan atau disabitkan atas pertuduhan itu.

Yong didakwa merogol pembantu rumah Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. – Bernama, 28 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen