Ramai tertekan pembantu rumah disekat masuk, kata persatuan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Daripada 300,000 pembantu rumah dalam negara, jumlah itu turun ke angka tidak sampai 90,000 orang selepas pandemik Covid-19 melanda.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2022.

BANYAK permohonan diterima untuk mendapatkan pembantu rumah warga asing namun tidak dapat dipenuhi kerana ramai sudah pulang ke negara asal, kata persatuan pembekal.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) Foo Yong Hooi berkata ia menyebabkan banyak keluarga di negara ini tertekan kerana tiada bantuan di rumah.

Foo memberitahu The Malaysian Insight, dari 300,000 pembantu rumah dalam negara, jumlah itu turun ke angka tidak sampai 90,000 orang selepas pandemik Covid-19 melanda.

“Ramai yang sudah pulang ke negara asal dan yang saya kesal, pelancong asing boleh masuk ke Malaysia, kenapa pembantu rumah asing tidak boleh masuk.

“Majikan tempatan yang rata-rata mempunyai anak dan ibu bapa untuk dijaga dalam keadaan terdesak sekarang,” katanya.

Keadaan kini makin mendesak apabila sekolah dibuka semula, katanya yang menggesa lebih ramai warga asing segera dibenarkan masuk.

Usaha itu perlu disegerakan kerana ramai rakyat tempatan khususnya golongan wanita tidak sanggup menceburi bidang kerja pembantu rumah, katanya.

Seramai 977 agensi pekerjaan swasta menyatakan kesediaan berganding bahu dengan Kementerian Sumber Manusia untuk membuka peluang kepada rakyat tempatan, tetapi tidak mendapat sambutan.

“Pembantu rumah bukan pilihan kerjaya yang ingin diceburi rakyat tempatan khususnya golongan wanita, jadi ia harus ditangani dengan pendekatan lain, katanya.

Katanya, inovasi boleh diperkenal seperti dilakukan sewaktu kerajaan membantu industri pelancongan yang teruk terjejas akibat pandemik.

“Pemantauan (tenaga kerja asing) lebih mudah sebenarnya sebab sudah ada majikan untuk dihubungi dan pusat kuarantin juga boleh ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya.

Kata Foo, permintaan tinggi waktu ini diterima untuk mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina, selain negara seperti Sri Lanka dan India.

Menurutnya, Papa juga memohon untuk mendapatkan pembantu rumah asing dari Bangladesh dan kerajaan sudah bersetuju secara dasar.

“Sekarang Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh perlu menulis surat secara formal kepada kerajaan kita.

“Hasil perbincangan awal dengan rakan kerjasama di Bangladesh, saya boleh nyatakan, kos mungkin di bawah RM10,000 iaitu paling murah berbanding negara lain,” katanya.

Tambahnya, kesesuaian pembantu rumah Bangladesh untuk keluarga tempatan masih belum dapat dipastikan tetapi negara itu negara itu boleh menjadi negara sumber untuk pembantu rumah asing.

Beliau mengakui timbul masalah untuk mendapatkan tenaga kerja pembantu rumah Filipina dan juga Indonesia yang sedang cuba diatasi.

“Beberapa isu perlu diputuskan untuk mengambil pekerja domestik Indonesia bekerja di negara ini.

“Untuk Filipina pula, timbul beberapa masalah akibat pandemik dan kerajaan yang harus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Tambahnya, kekosongan akan meningkat memandangkan ramai pembantu rumah bakal menamatkan kontrak dan pulang apabila sempadan Malaysia dan negara lain dibuka semula.

“Kerajaan diminta merangka penyelesaian tuntas dan segera, mengambil kira beberapa faktor penawaran serta permintaan membabitkan pembantu rumah di Malaysia,” katanya.

Satu lagi persatuan turut membangkitkan isu sama dan menggesa kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu kemasukan warga asing.

Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Muhsein berkata pembantu rumah sepatutnya dibenarkan masuk seperti pegawai dagang.

“Jika ekspatriat boleh masuk ke Malaysia, kenapa tidak pembantu rumah asing. Kenapa perlu ada double standard? Covid-19 hanya akan berjangkit melalui pembantu rumah asing?” soalnya.

Menurutnya, Mama menyokong penuh kenyataan Papa dan menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian segera untuk membenarkan pembantu rumah asing masuk ke negara ini.

“Memang setiap ejen pembantu rumah berhadapan dengan lambakan permohonan pembantu rumah asing.

“Pembantu rumah asing ini satu keperluan untuk keluarga yang sibuk dengan tugasan harian, terutama yang ada warga emas dan mereka yang uzur,” katanya. – 22 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen