DUTA Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta semua ahli parlimen supaya menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, sebarang usaha menjatuhkan kerajaan akan menyukarkan tugas duta-duta Malaysia di luar negara untuk menarik pelaburan kerana melihat negara tidak stabil.
“Saya bercakap atas kapasiti sebagai Duta Besar ke AS, bukan sebagai ahli politik.
“Saya percaya duta-duta Malaysia di negara lain juga bimbang jika ada usaha menjatuhkan kerajaan kerana negara tidak stabil dan pelabur tidak berminat untuk datang ke negara kita.
“Saya bertemu pelabur-pelabur di Amerika ini dan mereka sangat menekankan soal kestabilan sesebuah kerajaan sebelum pergi melabur di mana-mana negara,” katanya, seperti dipetik Astro Awani.
Katanya, beliau menyokong penuh titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar semalam yang menekankan pentingnya supaya kestabilan kerajaan dijaga.
Jelas Nazri, ahli-ahli parlimen perlu menjaga kestabilan negara dan tidak berusaha menjatuhkan kerajaan sebagai bukti taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mengimbau pembentukan kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini susulan tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti mutlak selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
“Jadi Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan tugas mengikut Perlembagaan dengan menasihatkan sebuah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Ahli-ahli parlimen perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka taat kepada raja dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan yang stabil,” katanya.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah bertitah menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus berkenaan gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan kerajaan, enam bulan selepas rakyat membuat keputusan dalam PRU15.
“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini?
“Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda. – 4 Mei, 2023.
Komen