Pelantikan Nazri dibuat kerajaan sebelum ini, kata Anwar


Bekas ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari 2023.

PELANTIKAN bekas ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dibuat setahun lalu oleh kerajaan sebelum ini, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata pelantikan Nazri itu mengambil masa selama enam bulan untuk disahkan oleh kerajaan AS, dan kerajaan perpaduan terpaksa meneruskannya bagi mengelakkan masalah lain jika ia dibatalkan.

“Jadi, bila saya datang, melainkan ada hujah yang terlalu keras menentang, maka kerajaan sekarang hanya mengesahkan kerana membatalkan itu menimbulkan banyak masalah.

“Proses pengesahan oleh AS agak panjang. Setelah (pelantikan Nazri) disahkan dan saya ambil alih (kerajaan), saya hanya mohon Yang di-Pertuan Agong tangguhkan sedikit (pengurniaan) watikah supaya saya susun dulu jemaah menteri, dan saya harus maklumkan kepada jemaah menteri,” katanya seperti dilapor Berita Harian, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Anwar menjelaskan pelantikan Nazri dilewatkan bagi membolehkan beliau menyusun jemaah menteri terlebih dahulu.

Perdana menteri juga berkata pihak yang mengkritik pelantikan Nazri sepatutnya mendengar penjelasan beliau terlebih dahulu, bukan terus menyerang apabila tidak bersetuju.

“Orang nak tegur boleh tapi serangan itu keras, seolah-olah kita yang bertanggungjawab.

“Boleh tegur tapi ambillah maklumat atau tanya dulu. Kalau cabar perdana menteri beri penjelasan tak apalah, jangan hukum dulu,” katanya.

Dua bekas diplomat baru-baru ini mengkritik pelantikan Nazri sebagai duta besar ke AS, menyifatkan keputusan itu mencerminkan pertimbangan buruk Anwar.

“Tidak adil bagi diplomat sedia ada apabila mereka dinafikan peluang dilantik menjadi duta.

“Saya fikir perdana menteri membuat pertimbangan yang buruk apabila menamakan Nazri sebagai duta kita ke AS,” kata Noor Farida dipetik Free Malaysia Today.

Sementara itu, bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Kanada Dennis Ignatius dalam makluman ringkas kepada FMT berkata: “Hari demi hari, PM (Anwar Ibrahim) mengecewakan.”

Pakatan Harapan sebelum ini membantah pelantikan ahli politik sebagai duta, malah ketika nama Nazri dikaitkan dengan jawatan diplomat kanan di Perancis, Switzerland atau AS. – 11 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen