Khalid harus belajar hormat komponen kerajaan perpaduan, kata Zahid


Kata Zahid, Khalid tidak seharusnya mencari titik perbezaan antara komponen dalam kerajaan perpaduan sebaliknya perlu mencari titik persamaan antara mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad belajar menghormati rakan komponen kerajaan perpaduan.

Timbalan perdana menteri itu berkata, Khalid yang merupakan bekas ahli Parlimen Shah Alam seharusnya pandai membezakan antara pendirian peribadi dan pendirian rasmi parti.

“Beliau harus belajar menghormati rakan parti lain dalam komponen kerajaan perpaduan, jangan masih mempunyai anggapan seolah-olah beliau sebagai individu yang berada dalam kepompong pemikiran pembangkang, lupakan soal perbezaan ini.

“Saya santuni perbezaan pendapat di antara individu yang pada hemat saya apabila saya adakan perbincangan dengan kepimpinan atasan parti, mereka berpendapat itu pendapat peribadi bukan pendirian parti. Saya harap individu itu dapat membezakan pendapat peribadi beliau dengan pendirian parti,” katanya kepada pemberita ketika sambutan Aidilfitri di Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, Khalid mengeluarkan kenyataan mewakili partinya merayu agar Lembaga Pengampunan tidak membenarkan pengampunan kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana ia akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata Khalid tidak seharusnya mencari titik perbezaan antara komponen dalam kerajaan perpaduan sebaliknya perlu mencari titik persamaan antara mereka.

“Jumpa saya sendiri untuk dapatkan pengesahan terhadap bagaimana pendirian parti saya Umno terhadap isu beliau bangkitkan. Jangan baca yang tersurat sahaja lihatlah yang tersirat, ada 19 parti dalam kerajaan perpaduan dapat wujudkan keharmonian.

“Jangan cari titik perbezaan kita kena cari titik persamaan,” katanya.

Mengulas soal permohonan pengampunan terhadap Najib, beliau berkata agenda itu tiada dalam sidang Lembaga Pengampunan yang bersidang 28 April lalu.

“Agenda pengampunan itu tidak dimasukkan kerana lembaga pengampunan fikir akan ada waktu yang sesuai lembaga memasukkan agenda itu. Kita tunggulah kenyataan dan perkembangan dari Jabatan Perdana Menteri yang menjadi seketriat lembaga berkenaan,” katanya.

Jelasnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab Umno untuk terus membuat permohonan tersebut kerana Najib banyak berjasa kepada negara dan parti.

“Pendirian Umno menerusi kenyataan setiausaha agung adalah pendirian rasmi parti kita untuk mohon pengampunan untuk bekas perdana menteri dan presiden Umno. 

“Itu tanggungjawab kami sebagai parti yang beliau pernah ketuai dan minta dihormati oleh pihak lain termasuk komponen kerajaan perpaduan,” katanya.

Amanah hari ini memohon maaf kepada Umno berhubung kenyataan Khalid sebelum ini yang merayu supaya Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan pengampunan diraja kepada Najib.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata beliau menyampaikan sendiri permohonan maaf partinya kepada Ahmad Zahid.

Pengumuman permohonan maaf ini menyusul tidak lama selepas Presiden Amanah Mohamad Sabu menjelaskan kenyataan Khalid yang dibuat dua hari lepas sebagai pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Khalid berkata Amanah berpendirian pengampunan ke atas Najib akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang mahu membersihkan negara daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Amanah juga merayu agar Najib terus dipenjara dan ditolak permohonannya untuk pengampunan diraja, katanya yang mengeluarkan kenyataannya bagi pihak Amanah.

Susulan kenyataan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi pula menyifatkan Amanah tidak boleh dipercayai kerana bersikap ‘kawan makan kawan’.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas didapati sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya yang disahkan sebelum itu oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Panel kedua Mahkamah Persekutuan mendapati tidak berlaku kegagalan proses keadilan ketika mahkamah tertinggi negara mendengar rayuan akhir Najib pada Ogos 2022. – 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen