Amanah mohon maaf kepada Umno


Salahuddin menyampaikan permohonan maaf Amanah itu ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

AMANAH meminta maaf kepada Umno berhubung kenyataan pengarah komunikasinya Khalid Samad yang merayu supaya Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri Najib Razak, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata beliau menyampaikan sendiri permohonan maaf partinya kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah memohon maaf atas kenyataan dikeluarkan oleh Khalid.

“Sebarang keterlanjuran itu bagi saya biasalah untuk orang politik. Kadang kala kita terlanjur dan tidak ada malunya kita memohon maaf sekiranya ia melukakan,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Salahuddin menyampaikan permohonan maaf Amanah itu ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Pengumuman permohonan maaf ini menyusul tidak lama selepas Presiden Amanah Mohamad Sabu menjelaskan kenyataan Khalid yang dibuat dua hari lepas adalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Khalid berkata Amanah berpendirian bahawa pengampunan ke atas Najib akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang mahu membersihkan negara daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Amanah juga merayu agar Najib terus dipenjara dan ditolak permohonannya untuk pengampunan diraja, katanya yang mengeluarkan kenyataannya bagi pihak Amanah.

Susulan itu, Ahmad Zahid menyeru semua pihak agar menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak membuat kenyataan mengenai permohonan pengampunan Najib.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi pula menyifatkan Amanah tidak boleh dipercayai kerana bersikap ‘kawan makan kawan’.

Menurut Salahuddin, tumpuan parti-parti dalam kerajaan perpaduan sekarang ialah untuk menghadapi enam pilihan raya negeri yang dijangka akan berlangsung antara Julai dan Ogos ini.

“Elok kita selesaikan segera isu ini dan bergerak ke hadapan demi perpaduan negara dan rakyat,” katanya.

Mengenai pendirian Amanah terhadap isu pengampunan Najib, Salahuddin berkata mana-mana pihak yang dikenakan hukuman oleh mahkamah berhak memohon pengampunan diraja.

Salahuddin juga dipetik berkata Amanah menganggap isu itu selesai dengan permohonan maaf daripada Umno dan tidak timbul soal membawa Khalid ke jawatankuasa disiplin parti.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas didapati sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya yang disahkan sebelum itu oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Panel kedua Mahkamah Persekutuan mendapati tidak berlaku kegagalan proses keadilan ketika mahkamah tertinggi negara mendengar rayuan akhir Najib pada Ogos 2022. – 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen