Pegawai Cambridge Analytica mengaku ‘buat kerja pilihan raya’ di Malaysia


Pengarah Urusan CA Political Global Mark Turnbull (kanan) dirakamkan secara sembunyi ketika bercakap tentang Cambridge Analytica membantu kerja pilihan raya di Mexico dan Malaysia. – Gambar YouTube, 20 Mac, 2018.

SYARIKAT penganalisis data, Cambridge Analytica yang diharamkan dari Facebook, dengan gahnya mendedahkan di media British, Channel 4 News bahawa syarikat itu melakukan kerja pilihan raya di Malaysia.

Pengarah Urusan CA Political Global Mark Turnbull memberitahu demikian kepada seorang wartawan stesen televisyen tersebut yang sedang menyamar dalam siasatan berkenaan tahun lalu.

Hasilnya, Channel 4 News dapat merakam pengakuan para eksekutif Cambridge Analytica itu bahawa berkata mereka boleh memeras ugut ahli politik, menghantar wanita sebagai perangkap, dan membantu menyebarkan propaganda untuk pelanggan mereka.

Operasi itu dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Cambridge Analytica, syarikat perunding data yang bekhidmat untuk kempen Presiden AS, Donald Trump dalam pemilihan 2016.

“Jika anda kumpul data tentang orang dan memprofil mereka yang memberikan anda lebih banyak maklumat yang boleh digunakan untuk membahagikan populasi itu bagi memberi mereka mesej tentang isu yang mereka peduli dan bahasa, imej yang mereka suka, dan kami gunakan itu di Amerika, kami guna di Afrika, itu apa yang kami buat sebagai sebuah syarikat.

“Kami sudah lakukannya di Mexico, di Malaysia dan sekarang kami akan ke Brazil,” kata Turnbull.

Wartawan Channel 4 itu menyamar sebagai tukang atur bagi satu keluarga kaya Sri Lanka, yang mahu mendapatkan maklumat bagaimana syarikat itu dapat membantu bakal calon pilihan raya di negara itu.

Cambridge Analytica dan sekutunya, Strategic Communication Laboratories (SCL) bagaimanapun menafikan tuduhan Channel 4 bahawa “Cambridge Analytica atau mana-mana sekutunya menggunakan cara perangkap, rasuah, atau helah untuk apa saja tujuan”.

Facebook minggu lalu mengharamkan syarikat itu kerana gagal memadam data pengguna yang diperoleh daripada satu pembuat aplikasi ujian psikologi popular.

Turut digantung dari Facebook adalah organisasi utamanya, SCL, dan juga dua ahli psikologi dari University Cambridge, Aleksandr Kogan dan Christopher Wylie, yang menguruskan Eunioa Technologies.

Pada 2015, Kogan didakwa melanggar Dasar Platform mereka dengan menyampaikan data dari aplikasi yang menggunakan sistem log masuk Facebook ke SCL/Cambridge Analytica.

Aplikasi Kogan, thisisyourdigitallife, yang menawarkan ujian ramalan personaliti, dipromosikan di Facebook sebagai “aplikasi kajian yang digunakan oleh ahli psikologi”.

Sebanyak 270,000 orang memuat turun aplikasinya, yang membolehkan Kogan mengakses maklumat seperti bandar yang disenaraikan di profil, atau kandungan yang disukai pengguna terbabit.

Menurut laman webnya, Cambridge Analytica mempunyai empat pejabat di ibu kota utama dunia dan termasuk di pinggir bandar raya Kuala Lumpur, Kota Damansara.

Apa yang lebih menimbulkan tanda tanya adalah pemilik hartanah itu berkata pejabat berkenaan tidak wujud di alamat yang tersenarai dalam laman web berkenaan.

The Malaysian Insight mengunjungi alamat yang tersenarai di laman web berkenaan pada Ahad lalu dan mendapati alamat itu membawa kepada sebuah kediaman berpagar di kawasan komuniti tertutup di Kota Damansara, Selangor.

The Malaysian Insight menghubungi ketua SCL’s South-east Asia Azrin Zizal dan kini menunggu maklum balas daripada beliau.

Selain Malaysia, syarikat data raya itu turut memiliki empat lagi pejabat yang terletak di New York, Washington DC, London dan Brazil.

Maklumat di laman web Cambridge Analytica menunjukkan syarikat itu terlibat membantu Barisan Nasional memenangi semula Kedah daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013 melalui mesej kempen bersasaran yang menonjolkan penambahbaikan sekolah sejak 2008.

Pada pilihan raya itu, BN menang 21 daripada 36 kerusi negeri serta 10 daripada 15 kerusi Parlimen. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen