SEKURANG-kurangnya dua pendatang meninggal dunia dan kira-kira 20 lagi hilang selepas kapal mereka karam di Mediterranean antara Tunisia dan Itali, kata kumpulan bantuan Jerman ResQship.
Kapal kumpulan itu, Nadir, menyelamatkan 22 orang lagi dan membawa mereka ke pulau Lampedusa di Itali, kata Stefen Seyfert dari ResQship. Bot mereka karam pada malam Sabtu.
Antara yang diselamatkan ialah lelaki, wanita dan kanak-kanak dari Cameroon, Ivory Coast dan Mali, kata Kapten kapal Nadir, Ingo Werth.
Seorang wanita hamil antara yang diselamatkan, manakala kru bot itu turut menemui mayat dua lelaki.
Secara keseluruhannya, kira-kira 40 pendatang berada di atas bot itu ketika ia meninggalkan Sfax di Tunisia, kata Seyfert.
“Kami melakukan segala yang mampu untuk menyelamatkan lebih ramai orang, tetapi tidak berjaya,” tambahnya. Dia mengakui mendapat “kerjasama yang baik” dengan pengawal pantai Itali.
Menurut agensi berita Itali ANSA, sembilan wanita adalah antara yang terselamat sekaligus menjadikan bilangan yang hilang adalah 18 orang.
Pendatang terbabit dipercayai membayar 3,000 dinar Tunisia (kira-kira AS$980) setiap seorang untuk mendapatkan tempat ke atas kapal itu.
Menggambarkan operasi mereka pada awal Ahad di Twitter, ResQship berkata ketika mereka tiba di tempat kejadian, pendatang telah berada di dalam air selama kira-kira dua jam. – AFP, 10 April, 2023.
Komen