60 migran maut dalam insiden bot karam di Itali


Itali merupakan antara negara yang menjadi laluan pendatang untuk ke Eropah. – Gambar AFP, 27 Februari, 2023.

SEKURANG-kurangnya 60 orang migran, termasuk 11 kanak-kanak dan bayi baru lahir, maut apabila bot yang mereka naiki karam akibat ribut di perairan selatan wilayah Calabria.

“Sehingga kini, jumlah mangsa yang disahkan terbunuh ialah 59 orang,” kata datuk bandar Crotone, Vincenzo Voce, kepada saluran TV Sky TG-24 pada petang Ahad.

Pusat menyelamat Crotone berkata 12 daripada 59 mangsa adalah kanak-kanak, termasuk bayi yang baru lahir, dan 33 adalah wanita, menurut agensi berita AGI.

Pengawal pantai Itali berkata kapal yang lebih muatan itu pecah dalam gelombang ganas di perairan Crotone, dengan seorang pegawai melaporkan bahawa seorang yang disyaki penyeludup ditangkap oleh pasukan keselamatan.

Serpihan kayu bertaburan di sekitar 100 meter (328 kaki) pantai, di mana ramai penyelamat dikerahkan, menurut seorang wartawan AFP.

Pekerja penyelamat memberitahu AFP bahawa kapal itu membawa “lebih 200 orang”.

“Calabria sedang berkabung selepas tragedi yang dahsyat ini,” kata gabenor wilayah Roberto Occhiuto. – AFP, 27 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen