SEBUAH kapal mencari dan menyelamat berjaya menyelamatkan 128 pendatang haram yang cuba ke Eropah dengan menaiki bot getah yang sesak pada Jumaat namun mendapati dua daripada mereka telah meninggal dunia, kata NGO yang mengendalikannya.
“Hari ini, dalam operasi lima jam yang dijalankan dalam keadaan cuaca berbahaya, Ocean Viking menyelamatkan 128 lelaki, wanita dan kanak-kanak,” kata SOS Mediterranee di Twitter.
“Malangnya, dua orang ditemui mati di atas bot getah yang sesak itu,” katanya.
“Disebabkan keadaan cuaca yang melampau, kami hanya dapat mengambil satu mayat.”
Afrika Utara adalah laluan utama bagi pendatang, terutamanya dari negara-negara Afrika yang dilanda perang dan kemiskinan, dalam cubaan terdesak mereka untuk sampai ke Eropah.
Ramai yang akhirnya lemas dalam percubaan itu, menjadikan Mediterranean sebagai laluan penghijrahan paling bahaya di dunia.
Kira-kira 2,000 pendatang hilang atau disahkan lemas di Mediterranean tahun lepas, meningkat daripada 1,401 pada 2020, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa.
Ia mengatakan lebih 23,500 pendatang telah hilang di Mediterranean sejak 2014, kebanyakannya di tengah laut. – AFP, 26 Mac, 2022.
Komen