Apa yang susah berdepan dengan perdana menteri, wahai pembangkang?


Fakhrurrazi Rashid

Pembaharuan yang menjadi tumpuan ramai adalah sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri setiap hari Selasa di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2023.

PERSIDANGAN Dewan Rakyat yang baharu sahaja tamat pada 4 April lalu menyaksikan citrawarna politik ahli Parlimen dalam menjalankan tugas mereka. Di sebalik kerenah dan drama yang berlaku, Dewan Rakyat juga melaksanakan beberapa pembaharuan untuk memperkukuh peranan semak dan imbang ke atas jemaah menteri.

Pembaharuan yang menjadi tumpuan ramai adalah sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri setiap hari Selasa. Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR), Johari Abdul memulakan pembaharuan ini sebagai ujian rintis yang mungkin ke arah disempurnakan menjadi sesi pertanyaan perdana menteri seperti yang diamalkan Parlimen United Kingdom dan Australia.

Sesi pertanyaan perdana menteri ini merupakan amalan penting dalam sistem Parlimen moden. Pertama, ahli Parlimen pembangkang dan bukan kerajaan boleh bertanya soalan secara bersemuka kepada perdana menteri berkenaan sesuatu isu. Kedua, sesi ini menguji keteguhan perdana menteri mempertahankan dasarnya di lantai Parlimen.

Rakyat juga berpeluang menilai secara dekat hujah asas perdana menteri dan ahli Parlimen dalam menjelaskan sesuatu isu secara langsung, bukan sekadar hebahan di media sosial semata-mata.

Setakat ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen tinggi dalam sesi ini. Tetapi pemimpin kanan pembangkang pula tidak hadir untuk bertanya soalan secara bersemuka. Ia menimbulkan polemik terhadap pembangkang yang didakwa tidak menghormati institusi Parlimen dan lemah dalam menjalankan tugas hakiki sebagai badan semak dan imbang. 

Segelintir ahli Parlimen pembangkang pula mempertahankan ketidakhadiran pemimpin kanan tersebut dengan mendakwa sesi pertanyaan perdana menteri hanya terhad kepada ahli Parlimen yang menghantar soalan dan dipanggil YPDR. Di sebalik kelemahan ini, pembangkang turut mempersoal kualiti jawaban perdana menteri yang didakwa caca marba dan gagal menjawab pertanyaan ahli Parlimen.

Kerapuhan ketua pembangkang

Hujah ini sebenarnya separuh masak dan menimbulkan beberapa persoalan. Pertama, mengapa ketua pembangkang tidak mengemukakan pertanyaan kepada perdana menteri lebih awal seperti terkandung dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat?

Sekiranya ketua pembangkang menghantar pertanyaan tersebut, sudah pasti YPDR akan mengutamakan soalan tersebut atas kapasiti ketua pembangkang yang merupakan individu penting di Dewan Rakyat. Adakah perkara ini dilakukan ketua pembangkang?

Kedua, ketua pembangkang juga berpeluang mengemukakan soalan tambahan sekiranya menghantar soalan lebih awal.

Logiknya, sekiranya ketua pembangkang bangun sekalipun ingin bertanya soalan tambahan kepada perdana menteri ketika sesi tersebut, sudah pasti YPDR akan memberi laluan kepadanya.

Bagaimana ketua pembangkang boleh diberi ruang kalau dirinya sendiri tidak hadir ke sesi tersebut?

Di Parlimen UK, ketua pembangkang diberikan keutamaan dan boleh mengemukakan enam pertanyaan semasa waktu pertanyaan perdana menteri (PMQ) pada setiap hari Rabu yang kemudiannya disusuli dengan perdebatan dengam perdana menteri.

Soalnya, berapa banyak pertanyaan dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin setiap kali sesi pertanyaan perdana menteri pada hari Selasa?

Malah konvensyen Parlimen biasanya akan memberi ruang kepada pemimpin kanan parti pembangkang yang lain untuk bertanyakan soalan kepada perdana menteri jika ketua pembangkang tidak hadir.

Masalahnya Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang yang merupakan pemimpin tertinggi pembangkang pun tidak hadir sewaktu sesi tersebut.

Perkara asas yang boleh dibuat ketua pembangkang adalah menghantar soalan sesi pertanyaan perdana menteri yang sebenarnya mudah dilaksanakan.

Ironinya, perkara ini tidak berlaku. Ketua pembangkang memilih berjiwa kecil dalam melihat pembaharuan ini.

Jika kita imbas kembali perjalanan Parlimen satu dekad yang lalu, jarang sekali rakyat dapat menyaksikan kehadiran perdana menteri ke Parlimen bagi menjawab pertanyaan ahli Parlimen, khususnya isu yang sering dikaitkan dengan kelemahan kerajaan.

Justeru itu, sesi pertanyaan perdana menteri kali ini dapat memastikan perdana menteri wajib hadir ke Parlimen bagi menjawab pertanyaan ahli Parlimen. 

Amalan baharu ini dapat mengubati sindrom terbesar perdana menteri Malaysia selama ini yang jarang hadir ke Parlimen untuk mengelak menjawab pertanyaan ahli Parlimen.

Untung buat pembangkang

Pembangkang sepatutnya memanfaatkan peluang menguji kesediaan perdana menteri dalam mempertahankan dasar-dasarnya dalam sesi tersebut. Pembangkang juga boleh mengemukakan hujah konstruktif dan cadangan alternatif yang lebih baik daripada kerajaan.

Ironinya, polemik politik kepartian menjadi agenda utama pembangkang dan penambahbaikan institusi Parlimen pula diperlecehkan dengan pelbagai alasan yang tidak berasas.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana parti pembangkang berpengalaman mentadbir Putrajaya. Pembangkang haruslah berjiwa besar dalam memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

Ketua pembangkang sebenarnya lebih beruntung. Dia boleh membina reputasinya dengan membangkitkan pertanyaan kritikal kepada perdana menteri sewaktu sesi pertanyaan itu.

Jika ketua pembangkang berjaya membuktikan kelemahan dasar kerajaan berasaskan fakta, ia boleh membina keyakinan rakyat, ketua pembangkang boleh menjadi ‘bakal perdana menteri’ yang lebih baik jika diberi peluang mentadbir nanti.

Kejayaan melaksanakan waktu pertanyaan kepada perdana menteri dalam persidangan Dewan Rakyat boleh menjadi sandaran utama untuk membuat kemajuan yang lebih baik.

YPDR boleh mempertimbangkan sekiranya waktu pertanyaan perdana menteri ditambah masa selama satu jam berbanding 30 minit yang diperuntukkan sekarang.

Pembaharuan ini boleh disusuli dengan menambah jumlah pertanyaan kepada perdana menteri daripada tiga pertanyaan kepada lima atau enam lagi pertanyaan. Ini bagi membolehkan ahli Parlimen pembangkang dan bukan kerajaan lebih aktif bertanyakan soalan kepada perdana menteri dalam isu-isu semasa.

Tidak mustahil jika sesi perdebatan antara perdana menteri dan ketua pembangkang dapat dilaksanakan satu hari nanti dengan adanya pembaharuan yang dilaksanakan ini.

Parlimen adalah satu institusi yang mudah untuk difahami jika semua ahli Parlimen memainkan peranan dalam setiap urusan Parlimen. Ia bukan sekadar hadir ke Parlimen semata-mata, tetapi sejauh mana pembangkang bertanyakan soalan yang tepat dan berkualiti dalam menguji ketelusan kerajaan di Parlimen. – 10 April, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen