Rakaman audio kontroversi jadi senjata Amanah tarik ahli PAS


Zulkifli Sulong

Amanah menggunakan rakaman audio yang mendakwa PAS bekerjasama dengan Umno untuk menarik sokongan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018. 

RAKAMAN audio yang didakwa pengakuan seorang pemimpin PAS bahawa parti itu bekerjasama dengan Umno dan menerima wang dari parti pemerintah kini menjadi senjata ampuh Amanah untuk menyerang parti Islam tersebut.

Aktivis Amanah Rantau Panjang, Mohamad Hishamuddin Ghazali mendakwa mereka berjaya menarik ramai ahli PAS menyertai mereka dengan menggunakan rakaman audio berkenaan.

Individu dalam rakaman terbabit yang didakwa sebagai AJK PAS Pusat, Nik Muhamad Abduh Nik Aziz, membuat pengakuan bahawa PAS menerima duit dari Umno termasuk untuk kempen dalam pilihan raya negeri Sarawak dua tahun lalu.

Individu terbabit juga mendakwa pemimpin kanan PAS terlibat dalam menerima duit daripada Umno termasuk presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Rakaman audio sepanjang 20 minit itu kini disebarkan sedikit demi sedikit sebagai senjata kempen dalam empat bahagian. The Malaysian Insight sudahpun mendengar rakaman tersebut.

“Mula-mula apabila saya pasang di sebuah kedai kopi, 20 orang yang hadir. Selepas itu dengan sekumpulan pemuda, 72 yang hadir, kemudian dengan sekumpulan wanita, 85 yang hadir,” kata  Mohamad Hishamuddin.

Hishamuddin berkata beliau menggunakan rakaman itu dalam aktivitinya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tuku di parlimen Rantau Panjang, Kelantan.

Kelantan merupakan kubu PAS yang menguasai kerajaan negeri tersebut sejak tahun 1990.

Rakaman audio “pengakuan” itu diperdengarkan kepada orang ramai melalui pembesar suara yang dipasang pada telefon bimbitnya, kata Hishamuddin.

Rakaman audio itu mula didedahkan oleh pengerusi Amanah Kelantan, Husam Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018.

Kerana sambutannya yang sangat positif, Mohamed yang lebih dikenali dengan nama Syam Ghaz itu bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti persembahan audio itu kepada orang ramai agar ia lebih mudah difahami.

“Saya sekarang sedang dalam proses untuk membeli 15 set pembesar suara bersama dengan LCD Projector untuk menayangkan audio yang kini sudah dijadikan video itu,” kata Sham Ghaz.

Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Pasir Mas telahpun menafikan bahawa beliau merupakan individu dalam rakaman tersebut.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya 28 Februari lalu, beliau berkata, penyebaran audio yang tular itu sebagai sampah di kalangan pemfitnah.

“Dakwaan rakaman ucapan saya itu adalah karut, mengarut dan fitnah ke atas diri saya, malah juga secara langsung dan sengaja ke atas parti Pas yang sejahtera daripada terlibat dalam perkara yang diharamkan oleh Islam termasuk memakan rasuah politik Umno atau membuntut di ekor DAP,” katanya.

Kewujudan audio itu mula didedahkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa.

Husam berkata dalam sidang medianya di Kuala Lumpur, memandangkan kesan isu rakaman audio berkenaan merupakan isu “besar” buat Pas, beliau menyarankan supaya Pas membawa rakaman tersebut ke makmal untuk dianalisis secara profesional dan kemudian menafikannya secara profesional.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut menafikan bahawa parti itu pernah menerima wang dari Umno, yang dianggapnya sebagai musuh tradisi.

Katanya, fitnah tersebut direka oleh pihak yang menerima wang dari Umno dan memutar belit isu tersebut untuk “mengampu” tuan politik mereka.

“Puak yang hentam kata PAS ini kononnya dapat duit daripada Najiblah, dapat duit Umno sebagainya. 

“(Saya) nak beritahu, kami tak pernah makan dedak Umno, makan duit Umno sebagaimana mereka,” kata Idris dalam kenyataan kepada lidah parti PAS, Harakahdaily.

Najib yang juga presiden Umno kini mesra dengan Hadi selepas parti PAS yang dipimpin ulama tersebut meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat.

Penganalisis melihat, tindakan PAS untuk bertanding dalam pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang juga dilihat sebagai pengacau dan akan menyebabkan BN memenangi lebih banyak kerusi.– 18 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen