PAS tak makan dedak Umno, kata naib presiden


Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan parti Islam itu pernah menerima duit daripada musuh tradisi mereka Umno, ketika tuduhan itu kembali timbul berikutan viralnya audio seorang pemimpin parti itu mengakui dakwaan itu. – Gambar AFP, 14 Mac, 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.

NAIB Presiden PAS Idris Ahmad menafikan parti Islam itu pernah menerima duit daripada musuh tradisi mereka Umno, ketika tuduhan itu kembali timbul berikutan viralnya audio seorang pemimpin parti itu mengakui dakwaan itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, golongan yang menuduh PAS itulah yang sebenarnya memakan duit daripada Umno.

“Kadang-kadang seronok, kadang-kadang tengok puak-puak yang duduk hentam kata PAS ini kononnya dapat duit daripada Najiblah, dapat duit Umno sebagainya,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak, seperti dipetik Harakahdaily.

“Nak beritahu, kami tak pernah makan dedak Umno, makan duit Umno sebagaimana mereka. Kita kenal seorang-seorang, pak mereka bukan kaya mana.

“Mereka kaya pasal apa? Pasal kadang-kadang diuji jadi pengampu waktu pegang media Barisan Nasional, kerja dengan media-media perdana dulu. Merekalah yang menjadi pengampu, dia spin isu-isu sebagainya.”

Baru-baru ini Naib Presiden Amanah Husam Musa mendedahkan terdapatnya rakaman audio seorang pemimpin muda PAS mengaku menerima duit daripada Umno.

Ini menyebabkan seorang ahli PAS Ibrahim Harun membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, Kuala Terengganu berdasarkan tulisan seorang pengguna Facebook yang memetik kenyataan Husam mengenai perkara tersebut.

Idris berkata, golongan ini marah pada hari ini kerana Najib sudah tidak memberi dedak kepada mereka.

“Sekarang ini zaman hari ini Najib tak bagi mereka, mereka mengamuk. Ini sahaja, bukan kerana prinsip.

“Sebab itu kalau Najib bagi lebih seringgit besok ini, pakat bondong-bondong pakat masuk Umno. Sorry to saylah, kita tidak sikap begitu,” katanya.

Idris berkata, PAS menentang Umno kerana persoalan dasar dan bukannya sentimen peribadi.

“Yang penting ialah kita nak selamatkan orang bersama-sama dengan Islam itu sendiri,” katanya. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen