Bolehkah Dr Mahathir tarik undi Melayu?


Amin Iskandar

Para penganalisis politik berkata Dr Mahathir Mohamad memerlukan lebih sekadar populariti dan kejayaannya sebelum ini mentadbir negara untuk mendapatkan undi Melayu luar bandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Mac, 2018.

ADA dua cabaran besar dihadapi oleh Dr Mahathir Mohamad dan parti pimpinannya, Bersatu untuk meraih undi Melayu di luar bandar: wang dan jentera di peringkat akar umbi.

Bekas perdana menteri yang memerintah lebih dua dekad itu boleh bergantung harap pada populariti dan kejayaannya sebelum ini untuk mendapatkan undi dari luar bandar, tetapi bagi penganalisis politik, beliau memerlukan lebih daripada itu.

Dr Mahathir sudah menjelajah ke seluruh negara terutamanya ke kawasan pedalaman tempat bekas partinya, Umno mempunyai sokongan kuat daripada pengundi Melayu.

Walaupun program-program beliau dan kemunculannya menjadi magnet kepada orang Melayu, penganalisis politik tidak yakin khalayak yang banyak itu akan diterjemahkan menjadi undi apabila tiba pilihan raya nanti.

Mereka sinis akan berlaku peralihan besar pengundi Melayu kepada pembangkang kerana Bersatu – parti yang diasaskan oleh Dr Mahathir selepas beliau keluar Umno pada 2016 – kekurangan dana dan jentera akar umbinya kelihatan lemah.

Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata walaupun Dr Mahathir popular, partinya Bersatu tidak mempunyai jentera.

“Rakyat masih hormat kepadanya akan tetapi masih belum tentu akan mengundinya atau partinya untuk berkuasa.

“Partinya tiada jentera akar umbi. Hanyalah bekas ahli-ahli Umno yang kecewa, rungutan sahaja tidak cukup untuk menggerakkan satu gerakan, apa lagi mempengaruhi pengundi,” katanya, yang juga timbalan pengerusi Majlis Profesor Negara kepada The Malaysian Insight.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar, kiri) setuju Pakatan Harapan (PH) “masih dilihat kurang licin” berbanding BN.

“Strategi kempen ada kalanya tumpul apabila misalnya menimbulkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menjadi tabu dalam kalangan pengundi konservatif,” katanya.

Tambah Awang Azman, pengundi konservatif lazim terdedah dengan wang sagu hati sedangkan PH tidak ada keupayaan menawarkan ini seperti belanja petrol dan menyediakan jamuan makan.

“Ini sudah tentu daya tarikan dilihat kurang oleh pengundi konsrvatif yang biasa diperlakukan sedemikian oleh Barisan Nasional (BN).

“Parti mana yang lebih mampu untuk bagi tambang balik mengundi? Persepsi umum ialah BN lebih berkemampuan. Inilah cabaran PH,” katanya.

Tetapi kebanyakan pimpinan Bersatu dan akar umbi parti itu yakin sosok karismatik Dr Mahathir yang berumur 92 tahun, ditokok dengan kerja keras mereka, akan membuahkan hasil.

Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun berkata, sayap Wanita parti itu sudah memulakan gerak kerja PRU14 sejak tahun lalu lagi, dengan fokus pada jejak pemilih iaitu mengenal pasti sikap pengundi.

Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun menaruh keyakinan dengan peranan Dr Mahathir Mohamad untuk menarik lebih ramai pengundi di samping kerja keras dalam kempen mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 18 Mac, 2018.

“Kita tahu jentera kita tak ramai. Tapi kita ada kualiti jentera,” kata Rina dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Rina berkata selain itu Srikandi menganjurkan program ceramah kelompok sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Dan dalam ceramah itu kita adakan sesi soal jawab sebab kita nak Srikandi ini boleh berucap, bercakap.

“Sebenarnya yang penting kita kena sampaikan kepada rakyat apa sebab kita kena menumbangkan kerajaan kleptokrasi ini, kerana apa yang kita bawa ini ialah suara rakyat,” katanya.

Bagi pemimpin akar umbi seperti Yusfazley Yusof, kebanyakan penganalisis mungkin tidak begitu turun bawah ketika membuat kajian.

Timbalan Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Taiping itu berkata, sejak sebelum Dr Mahathir datang berceramah pada 3 Mac lalu, setiap hari partinya sudah mengadakan program bertemu dengan pengundi.

“Kami dan mula menubuhkan PDM. Kami bekerjasama dengan Amanah untuk bergerak masuk ke kampung-kampung.

“Selain itu setiap minggu di pasar malam kami adakan program untuk menambah keahlian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Yusfazley dan rakan-rakannya merupakan antara yang bekerja keras semasa Dr Mahathir turun ke Taiping, Perak dalam siri program Jelajah PH.

Program Jelajah Pakatan Harapan yang disertai Dr Mahathir Mohamad di Taiping, Perak baru-baru ini mendapat sambutan daripada penduduk di sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018.

Tetapi bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, sambutan meriah diterima Dr Mahathir dalam siri jelajahnya masih belum memberikan lonjakan yang ketara dan signifikan kepada partinya Bersatu.

“Jika momentum sudah tinggi, Bersatu pada kala ini sudah tentu meraih laba kemasukan yang besar dan sudah mampu menggerakkan organisasi mereka dengan lebih baik dan efektif.

“Timbul persoalan di sini, adakah sokongan wujud dalam bentuk protes senyap dalam kalangan pengundi Melayu?” soalnya.

Hisommudin berkata, jika wujud keadaan sedemikian, sukar bagi PH untuk menyukat kekuatan mereka di kawasan pedalaman dan majoriti Melayu kerana elemen undi protes amat sukar untuk diukur.

“Ia hanya boleh tahu pada saat pengiraan undi, jika swing wujud maka barulah berlaku kejutan tsunami politik orang Melayu,” katanya. – 18 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apa sangat la yang ada pada Tun M sekarang. Beliau sekarang sudah tidak relevan dan profesional seperti dahulu. Sanggup jilat ludah sendiri dengan bersama-sama DAP yang dikatakan rasis dulu. Sekarang pulak Tun M dijadikan alat untuk meraih undi Melayu. Tak nampak lagi ke DAP adalah mastermind dalam PH sekarang.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan