Humza Yousaf pemimpin Islam pertama terajui Scotland


Humza Yousaf menggantikan Nicola Sturgeon sebagai menteri pertama Scotland, sekali gus menjadi pemimpin termuda dan Muslim pertama menerajui kerajaan di Eropah barat. – Gambar AFP, 29 Mac 2023.

PARLIMEN Scotland semalam mengesahkan Humza Yousaf menggantikan Nicola Sturgeon sebagai menteri pertama negara itu, sekali gus menjadi pemimpin termuda dan Muslim pertama menerajui kerajaan di Eropah barat.

Yousaf, 37, menang tipis dalam pemilihan bagi menggantikan Sturgeon sebagai ketua Parti Kebangsaan Scotland (SNP) pada Isnin tetapi kemudian memperoleh pencalonan majoriti ahli Parlimen menerusi undian semalam. 

Beliau dijadual mengangkat sumpah jawatan menteri pertama Scotland hari ini.

Menjelang pengesahan undi, Yousaf mengakui ada tugas besar menantinya selepas menggantikan Sturgeon, dan berazam untuk meneruskan usaha bagi memastikan Scotland “mempunyai suara yang positif dan progresif di dunia”.

Beliau berjanji untuk menjadi “generasi yang memberikan kemerdekaan untuk Scotland”.

Perdana Menteri United Kingdom Rishi Sunak semalam mengucapkan tahniah kepada Yousaf menerusi panggilan telefon. – AFP, 29 Mac 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen