Ramasamy mahu bertanding PRN lagi


P Ramasamy secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding lagi pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2023.

AHLI Dewan Undangan Negeri Perai P Ramasamy berkata beliau mahu bertanding pada pilihan raya negeri yang akan berlangsung walaupun wujud desas-desus yang beliau dan kemnya akan disingkirkan daripada barisan calon DAP.

“Saya secara terbuka mengatakan yang saya akan bertanding untuk penggal seterusnya,” kata Ramasaamy yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Beliau turut menafikan yang beliau mempunyai mana-mana kumpulan dalam DAP negeri.

“Saya tak tahu ada langkah dalam DAP untuk menyingkirkan saya atau Satees Muniandy daripada senarai calon Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang akan datang.

“Saya ahli parti DAP dan bukan ahli ‘kem’ atau ‘kumpulan dalam DAP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita yang “kem Ramasamy” dalam DAP Pulau Pinang besar kemungkinan akan disingkirkan dalam PRN akan datang.

Seorang sumber parti dipetik FMT berkata yang Ramasamy, Satees yang merupakan Adun Bagan Dalam dan beberapa orang lagi yang dipercayai berpendirian sama akan digugurkan daripada senarai calon.

Laporan FMT juga memetik sumber yang merupakan bekas ahli Parlimen sebagai berkata, wujud pelan untuk menggantikan “kem Ramasamy” dengan sekutu Lim Guan Eng.

Salah seorang yang dipercayai akan disenaraikan sebagai calon PRN adalah Sundarajoo Somu daripada syarikat hartanah, Eco World Development.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut menafikan laporan parti itu merancang mahu menggurkan Ramasamy.

Bercakap kepada wartawan pada Konvensyen DAP Selangor di Klang, Loke berkata Pakatan Harapan dan sekutunya masih lagi dalam rundingan pembahagian kerusi.

“Kita tak siap lagi runding kerusi. Jadi kita tak bincang lagi soal calon.

“Kita hanya tahu siapa calon pada hari penamaan calon,” katanya.

Sebelum ini akhbar The Star turut melaporkan yang Ramasamy akan digugurkan sebagai calon pada PRN akan datang.

Ramasamy sudah berkhidmat sebagai Adun selama tiga penggal sejak 2008, tahun Barisan Nasional disingkirkan daripada kuasa selepas 35 tahun mentadbir. – 26 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen