Sokong Jho Low ibarat khianat parti dan negara, kata veteran Umno 


TINDAKAN mempertahankan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low, adalah amat tidak wajar dan merupakan pengkhianatan terhadap parti dan negara, kata Veteran Umno.

Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata ini kerana individu tersebut adalah punca yang menyebabkan kerajaan terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Pemimpin Umno yang waras tidak mungkin akan menyokong Jho Low, apa lagi menyayangi penyangak itu.

“Malah mereka mahu melihat Jho Low diambil tindakan sekiranya benar penglibatan beliau mencuri duit 1MDB mengikut undang-undang negara,” katanya seperti dipetik Sinar Harian Online

Sementara itu, mengulas mengenai kritikan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Dr Rais Yatim mengenai isu Jho Low, Mustapha berkata pemimpin veteran itu boleh terus memberitahu Perdana Menteri Najib Razak jika mempunyai bukti. 

Pada awal bulan ini, Rais menegur Menteri Multimedia dan Komunikasi Salleh Said Keruak yang berkata tiada bukti yang menunjukkan Jho Low adalah pemilik kepada kapal layar mewah Equanimity yang dirampas di Bali.

“Menteri komunikasi cepat sangat menidakkan kapal mewah Equanimity bukan milik Jho Low. Seeloknya tunggu dulu. Jho Low dah menuduh Amerika (Syarikat) dan Indonesia keterlaluan.

“Jelas sudah, Jho Low berkepentingan,” katanya menerusi akaun Twitternya.

Teguran itu mengundang reaksi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz yang menuduh veteran Umno itu menyimpan dendam kerana pernah digugurkan daripada Kabinet. 

Bagaimanapun, Rais Yatim memulang buah paku keras dengan bertanya kepada Nazri kenapa menteri itu sayang sangat kepada Jho Low. 

“Dunia dah cukup perli Malaysia melalui Jho Low. Kenapa sayang sangat pada pemutar alam Jho Low?” kata Rais di media sosial Twitter

Said Keruak sebelum ini berkata tiada sebarang bukti kapal layar yang disita di Indonesia itu milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau dibeli dengan dana 1MDB.

DAP bagaimanapun bertanya sekiranya kapal layar itu bukan milik Jho Low, kenapa ahli perniagaan itu cepat memberikan reaksi apabila Equanimity ditahan oleh polis Indonesia.

Hanya beberapa jam selepas media melaporkan polis Indonesia menahan Equanimity dan anak kapalnya, Jho Low melalui jurucakapnya berkata tindakan itu sebagai keterlaluan kerana DoJ masih belum membuktikan ada sebarang salah laku berkait dengan kapal layar itu. – 17 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau betul Jho Low bersalah kerana mengambil duit 1MDB, memang wajar dia kena tindakan undang-undang. Tapi siasatan masih lagi diteruskan. Biarlah pihak berkuasa selesaikan isu tersebut.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Sudahlah, alasan alasan 1MDB berdosa menentang Islam, yang menghairankan mengapa begitu ramai Melayu tidak bimbang bangsa Melayu itu tidak bimbang manja pemimpin akan musnah sendiri dan pada masa itu dikenali sebagai bangsa padan muka mereka, bukan saja bangsa bahan ketawa tapi agama Islam itu sendiri.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan