Ramadan: Menggerakkan daya jiwa lebih manusiawi


Mohd Syazreen Abdullah

RAMADAN adalah rahmat untuk semua makhluk di bumi dan di langit. Kurniaan Tuhan berupa pancaran kasih sayang bukan hanya kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan makhluk lainnya.

Tujuan hakiki berpuasa mencari yang al-Haqq. Sabda Nabi: “Berpuasalah kerana melihat-Nya, dan berbukalah ketika melihat-Nya.”

Perkataan melihat-Nya dalam ayat tersebut merujuk al-Haqq. Dhamir yang dapat membezakan derajat orang-orang yang berpuasa. Mereka orang-orang yang mendaki ke atas puncak kerohanian paling tertinggi menghadap Tuhan. Sebagaimana pada bulan Ramadan berlakunya peristiwa malam al-Mikraj iaitu pengembaraan kerohanian Nabi Muhammad SAW bertemu Tuhan.

Kegembiraan orang yang bertakwa pada bulan Ramadan bukan hanya gembira saat berbuka tetapi kegembiraan saat bertemu dengan Rabbnya. Kegembiraan yang menggerakkan jiwa rasionalnya.

Oleh kerana itu, dua malam penting dalam bulan Ramadan disebutkan malam al-Qadr dan al-Mikraj. Al-Qadr gerakan dari atas turun ke bawah. Al-Mikraj gerakan dari bawah menuju ke atas. Kedua-dua gerakan ini saling berhubung bagi mencapai kesempurnaan berpuasa – kerohanian.

Pancaran Ilahi dari atas menurunkan al-Quran pada malam lailatul Qadar. Al-Quran bukan bermaksud secara fizikal diturunkan tetapi simbol, isyarat, makna cahaya batinnya itu disingkapi.

Penyingkapan cahaya al-Quran hanya disambut oleh orang-orang yang bertakwa. Mereka orang-orang yang memahami hakikat sebenar ibadah puasa sekali gus ia menaiki pengalaman irfan iaitu pengembaraan rohani dari bawah menuju ke atas – al-Mikraj.

Pengalaman kerohanian dalam hal ini penting bagi menghubungkan gerak daya kerohanian yang tinggi bagi membangkitkan jiwa kesedaran manusiawi. Orang yang sempurna kerohaniannya tidak akan sesekali mengabaikan kepentingan ibadah sosial. Kerana cahaya Tuhan menghadirkan rasa manusiawi dan amanah terhadap dirinya untuk memakmurkan kehidupan di dunia.

Justeru, ibadah puasa disebut terbahagi kepada makbul dan mabrur. Tidak semua amalan makbul dapat memberi kesan yang baik secara menyeluruh. Kebanyakan ibadah berpuasa kita hanya menumpukan kesan dalam diri sendiri sahaja. Impak kebaikan itu tidak dirasai makhluk sosial yang lain. Kita lebih tumpu diri semata-mata tanpa memikirkan hal-hal di sekeliling hidup kita.

Realitinya, ibadah berpuasa kita terpisah dengan ibadah sosial. Agama bukan difahami dimensi batin sahaja yang bergelut dengan akhirat lalu meninggalkan konteks duniawi dan melepaskannya – ibadah sosial. Sedangkan orang miskin seumur hidupnya itu lebih banyak menahan lapar dan minum.

Ramadan tidak ada makna seandainya kita hanya berjaya menahan diri dari makan dan minum tetapi gagal menahan diri melakukan penindasan, kerosakan dan kekerasan di muka bumi.

Kita tidak rahmah kepada semua makhluk di bumi. Kita tidak punya berusaha menjadi manusiawi.

Malangnya, kekuatan gerak daya yang berpotensi muncul (quwā) tidak cukup dan tidak sampai kepada quwā rohani iaitu kesedaran spiritual yang tinggi bagi membangkitkan kesedaran tersebut.

Akhirnya puasa sekadar makbul sahaja. Hanya dapat menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya puasa yang dikategorikan mabrur apabila ia memberi kesan kebaikan yang menyeluruh (universal) selepas melakukan ibadah tersebut. Ia memberi dampak kebaikan bukan sahaja pada diri tetapi semua makhluk di bumi – ibadah sosial.

Namun, banyak orang hanya menumpukan puasa dari sudut cukup sekadar penerimaan syariah “makbul” tanpa benar-benar menggerakkan daya rohani.

Mereka gagal menghayati sisi mabrur yang akan memberi impak kepada kebaikan universal. Mereka gagal menggerakkan jiwa yang membangkitkan perasaan membantu saudara dalam kesusahan.

Jiwa mereka tidak berdaya untuk merawat jagat dan memakmurkan bumi Tuhan. Jiwanya tidak hadir dalam upaya menghidupkan kemanusiaan.

Kerana itu, berpuasa bukan hanya fizikal sahaja. Memaknai puasa yang mabrur harus memerlukan upaya gerak jiwa dan ruh. Proses menggerakkan deria batin iaitu ruh dan hati menuju jiwa universal - amalan manusiawi.

Barangkali, mungkin puasa tidak seperti ibadah-ibadah yang lain. Puasa tidak mempunyai gerakan pergerakan seperti solat mahupun haji.

Menurut sufi agung, Ibn Arabi dalam kitabnya Futuhat al-Makiyyah berpandangan puasa lebih sempurna (tamam) dibandingkan amalan solat kerana ia menghadirkan penyaksian-Nya melalui pengalaman kerohanian seperti musyahadah berbanding solat yang lebih tertumpu kepada munajat.

Jelas, puasa bukan amalan yang menggerakkan perbuatan fizikal semata-mata tetapi ia dimaknai dengan amalan gerakan jiwa dan roh universal. Tidak sekadar menahan lapar dan minum.

Puasa menggerakkan rohani kita untuk bergerak menaik ke atas puncak bertemu ilahi. Maka itu, sebulan berpuasa di bulan Ramadan bukan untuk orang-orang kaya yang praktis tidak makan dan minum demi menyikapi perasaan orang susah semata-mata. Bahkan Ramadan bulan Rahmah yang terbentang luas kepada seluruh umat manusia tidak kira kaya atau miskin, sesiapa pun untuk menggerakkan jiwa universal – bulan kerohanian.

Bulan yang mana kita harus membersihkan hati dan berusaha untuk mencerap kerahsiaan tabir, tamsil Tuhan untuk mendorong hati (Qalb) – jiwa manusiawi. Berikutan itu, perasaan manusiawi dapat disingkapi dalam diri orang yang benar-benar ikhlas berpuasa dan mencari keredaan bagi menghilangkan nafsu amarah dan mendorong kepada nafsu muthmainnah.

Mungkin Ramadan kali ini kita harus berfikir dan muhasabah menjadi manusia yang dapat membahagiakan makhluk di muka bumi. Mencapai kebahagian dunia melakukan kerja-kerja kemanusiaan.

Manusia yang menyumbang dan bekerja memakmurkan bumi Allah dengan sejahtera – berpegang dengan prinsip iradatul ardh iaitu merawat jagat bumi dan membina kerja kemanusiaan atau peradaban.

Ramadan medan menjentik kerohanian kita untuk melatih diri kita dengan mendekatkan diri kepada al-Haqq melalui kesedaran manusia aktual. Manusia progresif yang tidak melupakan tujuan hidupnya berbakti kepada bumi. Merawat kemanusiaan dan alam.

Menjadi manusia aktual dan bekerja untuk merawat bumi memerlukan dorongan kekuatan daya jiwa universal yang aktif. Memerlukan dorongan kekuatan rohani dan jasmani. Mencari kekuatan gerak daya wujud yang berpotensi muncul (quwā) tidak cukup berpuasa secara lahiriah tetapi harus menumpukan berpuasa secara batin – Quwā rohani iaitu kesedaran spiritual yang tinggi.

Disebut Shawnu al-Qalb ‘an al-Afat – Menjaga hati daripada nafsu yang mendorong kepada hal-hal maksiat seperti dosa melakukan kezaliman, rasuah, marah-marah, menindas, merosak alam dan menganiayai orang lain.

Tidak sempurna hanya berpuasa lahiriah tetapi bersikap pasif dalam kerja-kerja kemanusiaan dan meletakkan urusan duniawi sepenuhnya kepada Tuhan. Menuju al-Haqq tidak sesekali sekadar membela Tuhan tanpa membela manusia dan makhluk-Nya. Sebaliknya sikap itu wujud dengan upaya menggebleng kekuatan gerak (quwā) jiwa demi meraih kebahagian ukhrawi.

Akhirnya, kita tidak akan pernah menjumpai hikmah ibadah berpuasa jika saban tahun hanya sekadar menahan makan dan minum.

Kadangkala Allah menjentik kesedaran manusiawi dalam banyak hal yang tidak disangka. Rahsia dan simbol-Nya hadir dalam ruang dan masa. Tiada siapa boleh jangka dari mana dorongan kekuatan melakukan kerja-kerja kebaikan itu kalau bukan lintasan cahaya Tuhan ke dalam hati dan jiwa kita.

Demikian, tujuan puasa bukan mengejar kebahagian ukhrawi sehingga melupakan makhluk di bumi.

Bagaimana mahu mendekatkan diri dengan al-Haqq jika gagal membahagiakan kebahagian makhluk di bumi? – 24 Mac 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen