Bekalan ayam, telur mencukupi menjelang Ramadan, kata menteri


Mohamad Sabu berkata kementeriannya sudah mengadakan perbincangan dengan penternak ayam bagi mengetahui masalah dihadapi mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesahkan bekalan ayam serta telur di dalam negara mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang bulan Ramadan ini.

Menterinya Mohamad Sabu berkata pihak kementerian mengadakan perbincangan dengan penternak ayam dan pengusaha telur berkait masalah yang dihadapi termasuk kekurangan pekerja.

“Pihak kerajaan dengan kerjasama Imigresen, polis dan Kementerian Sumber Manusia akan memudah cara supaya pengusaha terbabit boleh mengambil lebih banyak pekerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agrotourism dan Agroyouth di George Town hari ini.

Beliau berkata kelonggaran syarat pengambilan pekerja yang dilaksanakan kerajaan termasuklah melaksanakan pemutihan terhadap pekerja asing tanpa permit.

Mohamad berkata kenaikan harga makanan ternakan seperti soya dan jagung juga menjadi punca bekalan terjejas.

“Ketika ini, jagung dan soya masih lagi diimport manakala jagung yang ditanam di Malaysia tidak sesuai untuk dibuat makanan ayam namun kita sudah mula menanamnya di Perlis. Tahun ini kita akan buat secara besar-besaran supaya tidak perlu lagi import…sebagai langkah mengawal harga ayam,” katanya. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen