Kontraktor ubah suai rumah rugi hingga 50% kerana kurang pekerja


Angie Tan

Kontraktor mengeluh kerana sukar mendapat pekerja asing berkemahiran yang turut menuntut gaji yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2023.

KONTRAKTOR pengubahsuaian rumah mendakwa perniagaan mereka merudum sehingga 50% disebabkan kesukaran mendapatkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan.

Samantha Lim, yang mengendalikan syarikat pengubahsuaian dan reka bentuk rumah di Kuala Lumpur berkata sebelum pandemik Covid-19, syarikatnya mampu menyiapkan tiga projek dengan mudah dalam tempoh sebulan.

Kini mereka hanya boleh menyelesaikan satu setengah kontrak walaupun selepas kerajaan memberi kebenaran pekerja asing masuk.

“Penurunan sebanyak 50%,” kata Lim yang sudah 15 tahun terlibat dalam perniagaan memberitahu The Malaysian Insight.

“Tidak sukar untuk mengambil pekerja asing, tetapi sukar mendapatkan mereka yang mempunyai kemahiran atau pengalaman diperlukan,” katanya.

Lim berkata usaha untuk mendapatkan pekerja tempatan hanya membuang masa.

“Mereka pastinya tidak berminat untuk bekerja dalam industri pengubahsuaian rumah.”

Lim berkata memandangkan keupayaan syarikatnya untuk melaksanakan kontrak semakin perlahan, amalan standard baharu baginya ialah memaklumkan kepada pelanggan yang mereka perlu menunggu kerja pengubahsuaian di rumah mereka bermula.

“Ramai yang memahami dan sanggup menunggu,” katanya sambil menambah beliau sudah menerima tempahan sehingga Jun.

Rickie Low, yang menjalankan sebuah syarikat pengubahsuaian rumah berkata pengambilan pekerja asing bukan sahaja penuh birokrasi, kos pengambilan dan permintaan gaji yang tinggi oleh pekerja turut menambah kesukaran.

“Industri kami tidak dibayar dengan baik, jadi sukar untuk mengambil pekerja ini,” kata Low.

“Memohon permit mereka memerlukan sejumlah wang yang besar. Kemudian meminta gaji yang tinggi menjadikannya ia di luar kemampuan kebanyakan kami.”

Beliau berkata perniagaan agak baik untuk seketika dari Jun tahun lalu hingga Tahun Baharu Cina, kerana ramai pemilik rumah ingin mengubah suai kediaman bagi menyambut perayaan.

“Kami bekerja keras, siang dan malam, untuk menyelesaikan kontrak yang bertimbun.”

Low berkata kini gelembung pecah dan industri terpaksa bergerak perlahan kerana kekurangan pekerja.

Beliau berkata membayar pekerja asing RM80 sehari, seperti dikehendaki industri, tidak akan menarik pekerja.

Beliau memahami kesukaran yang bakal dihadapi oleh pekerja dengan gaji harian sebegitu.

“Purata kos makan sekarang ialah kira-kira RM10. Tiga kali makan sehari - sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam - berjumlah RM30.

“Selain itu, ramai daripada mereka merokok dan minum selepas bekerja. Akhirnya, mereka mungkin hanya ada baki kira-kira RM20,” kata Low.

Beliau berkata jika mengikut apa yang dibayar oleh industri lain – RM120 sehari – beliau dan ramai rakan industri tidak akan mendapati ia berdaya maju dari segi ekonomi. – 19 Mac, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen