KDN lulus 380,000 pemohonan pekerja asing, kata Saifuddin


Kata Saifuddin dibawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) jumlah pekerja asing tidak boleh melebihi 2.4 juta orang menjelang 2025 dan sehingga kini terdapat 1.5 juta pekerja asing di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) meluluskan 380,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan ekonomi negara.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya melakukan pelan kelonggaran bagi memenuhi permintaan industri setelah menerima pemberitahuan daripada Bank Negara agar memudahkan proses permohonan pekerja asing.

“Sehingga kini KDN meluluskan 380,000 permohonan daripada warga asing yang tinggal lebih tempoh dan tidak mempunyai dokumen agar mereka segera mencari majikan.

“Kelonggaran ini diberikan kepada beberapa sektor kritikal seperti perladangan, pertanian, perkilangan dan perkhidmatan,” kepada pemberita selepas melawat Kompleks ICQS Padang Besar hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Imigresen Perlis Khairul Amin Taib.

Katanya pada peringkat pertama ini, permintaan tenaga asing daripada pemain industri adalah sehingga 518,000 orang.

Beliau berkata tindakan itu diambil bagi membantu perkembangan ekonomi sekurang-kurangnya kepada satu peratus.

Saifuddin Nasution berkata usaha ini penting bagi membantu usaha perkembangan ekonomi negara yang dijangka berkembang kepada 4.5 peratus seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Katanya dibawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) jumlah pekerja asing tidak boleh melebihi 2.4 juta orang menjelang 2025 dan sehingga kini terdapat 1.5 juta pekerja asing di negara ini.

Selain itu katanya, KDN kini dalam proses akhir pemerolehan kamera badan bagi kegunaan agensi di bawahnya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Saifuddin Nasution berkata pihaknya kini sedang memuktamadkan kontraktor yang layak bagi  mengendalikan pemerolehan kamera badan itu dengan melibatkan peruntukan RM30 juta yang diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun lepas.

Beliau berkata penggunaan kamera badan dilihat mampu meningkatkan integriti perkhidmatan malah menjadi sumber bukti kepada anggota polis dan petugas agensi keselamatan lain serta dapat mengawal manipulasi, meningkatkan kepercayaan prang ramai dan meningkatkan keyakinan anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas secara profesional. – Bernama, 25 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen