Qatar dakwa lebih 400 pekerja asing maut sepanjang persiapan Piala Dunia


Kumpulan hak asasi manusia mendakwa beribu-ribu pekerja asing meninggal dunia di Qatar sejak negara itu menang hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022. – Gambar EPA, 30 November, 2022.

QATAR semalam berkata lebih 400 pekerja asing maut sepanjang kerja-kerja pembinaan sebelum Piala Dunia 2022 berlangsung di negara itu.

Dalam temu bual bersama stesen televisyen Britian semalam Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2022 Qatar Hassan al-Thawadi berkata sekitar 400 hingga 500 orang meninggal dunia, merujuk kepada statistik kebangsaan meliputi semua sektor dan kewarganegaraan dari 2014 hingga 2020.

Jawatankuasa itu berkata sebanyak 414 kes kematian melibatkan pekerja dalam projek pembinaan Piala Dunia 2022 meninggal dunia dalam tempoh lapan tahun.

Seramai 2.5 juta warga asing dilaporkan bekerja di Qatar, negara Teluk yang mempunyai 2.9 juta penduduk. Mereka terlibat dalam projek pembinaan besar yang telah mengubah Qatar berbanding sedekad lalu.

Meskipun Qatar berulang kali menepis dakwaan kumpulan hak asasi manusia bahawa beribu-ribu pekerja asing meninggal dunia sejak negara itu menang hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, namun ia tidak pernah memberikan angka tepat jumlah kematian. – AFP, 30 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen