PKR sedia serang PN, kata setiausaha agung


Saifuddin melihat pembangkang seolah-olah cuba menentang Yang di- Pertuan Agong apabila mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2023.

PKR bersedia untuk menyerang Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, ini kerana pembangkang dilihat cuba menentang Yang di- Pertuan Agong selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengakui ada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

“Ini nada yang angkuh maka maka kalau pandangan Tuanku ia boleh disanggah. Ini kerana terlalu angkuh sampai tiada orang sanggup menegur.

“Kerana itu hari ini dalam kongres PKR hari ini kita akan bersedia dalam menghadapi PRN dan pergi kepada menyerang,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Khas, hari ini.

Awal Mac, Abdul Hadi mengakui ada ‘usaha’ sedang dijalankan PN dan parti komponen di blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Abdul Hadi berkata perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar.

Pada program itu juga Saifuddin berkata PKR akan menumpukan sasaran merampas kerusi Kedah dari PAS pada  PRN.

“Kita masuk kali ini jelas kita nak pertahan Negeri Sembilan, menang di Selangor, bentuk kerajaan di Pulau Pinang. Kedah kita masuk, PRN, kali ini untuk mengambil alih teraju pemerintah negeri Kelantan, Terengganu kita fokus hantar suara pembangkang kuat.

“Dari empat negeri tumpuan saya fikir pendekatan baik fokus Kedah,bila dia (PN) sibuk pertahan Kedah mereka tak berapa tumpu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang,”katanya. – 18 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen