Putrajaya gagal lindungi artis, industri kreatif, kata penerbit filem


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah dan pelakon filem bebas Mentega Terbang menerima ugutan bunuh daripada orang yang tidak dikenali. – Gambar Twitter, 17 Mac, 2023.

PENERBIT filem mahu kerajaan memastikan keselamatan yang lebih baik untuk mereka terutamanya apabila produk mereka kontroversi dan menghadapi kritikan umum.

Menurut mereka gangguan yang dihadapi dalam talian, laporan polis, dan ancaman nyawa dan harta benda tidak sepatutnya berlaku. 

Tambah mereka, kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab dalam industri perfileman perlu menunjukkan sokongan kepada industri kreatif di negara ini.

Mereka berkata demikian mengulas berhubung ugutan bunuh terhadap pengarah dan pelakon filem bebas “Mentega Terbang” daripada individu tidak dikenali.

Badrul Hisham Ismail membidas Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kerana gagal menjamin keselamatan artis, termasuk pembikin filem dalam industri kreatif di Malaysia.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, graduan sekolah seni New York itu berkata Putrajaya boleh bertindak lebih baik dalam menangani kontroversi yang menyelubungi filem Mentega Terbang.

“Kerajaan telah gagal teruk dalam perkara ini. Mereka tidak dapat menjamin keselamatan pembikin filem atau artis di negara ini. Saya menyalahkan Fahmi Fadzil dan menteri hal ehwal agama (Dr Mohd Na’im Mohktar).

“Kedua-duanya gagal teruk. Malah mereka gagal melakukan perkara yang paling mudah, iaitu mengeluarkan kenyataan untuk mengatakan bahawa mereka menyokong kreativiti dan setiap perselisihan faham perlu ditangani, atau dirundingkan secara aman.

“Mereka pun tak boleh buat begitu dan disebabkan itu, kumpulan tertentu tampil dengan ugutan bunuh. Fahmi sendiri sibuk memuji Michelle Yeoh atas kemenangan Oscarnya tetapi tidak boleh berbuat apa-apa untuk melindungi artis kita di sini.

“Jika itu bukan kegagalan, maka apakah itu? Sebagai menteri, dia boleh melakukan yang lebih baik,” kata Badrul yang pernah membuat beberapa dokumentari dan filem.

Sementara itu, Zahrin Aris daripada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (MFPA) melahirkan rasa kesal dengan perkara itu.

Beliau berkata walaupun organisasinya mungkin tidak bersetuju dengan Mentega Terbang, ancaman terhadap pengarah dan pelakon itu sudah melampaui batas.

“Biarlah polis menjalankan kerja mereka dalam menyiasat perkara itu, rakyat biasa tidak sepatutnya mengambil perkara itu ke tangan mereka sendiri. Kami mengecam gangguan terhadap pengarah dan pelakon itu.

“Kita mungkin tidak bersetuju dengan filem itu, tetapi kita tidak boleh menggunakan keganasan. Tindakan keganasan ini tidak boleh berlaku lagi dan saya harap polis dapat menamatkan perkara ini,” kata Zahrin yang juga ketua pegawai eksekutif MFPA.

Kenderaan pengarah Mentega Terbang Khairi Anwar Jailani dan pelakon Arjun Thanaraju disimbah cat hitam dan merah pagi semalam.

Khairi turut menerima beberapa ugutan bunuh.

Dia membuat laporan polis di balai polis daerah Kajang, manakala Arjun buat laporan di balai polis daerah Ampang Jaya.

Menghalang kreativiti

Seorang aktivis yang disiasat polis beberapa tahun lalu kerana menayangkan dokumentari kontroversi turut mengkritik kerajaan kerana tidak melakukan apa-apa untuk melindungi industri kreatif di Malaysia.

Aktivis itu berkata serangan ganas terhadap Mentega Terbang boleh menjadi contoh buruk dan memberi ruang kepada pemikiran sempit untuk berkembang dalam jangka masa panjang.

“Akibatnya, tidak akan ada jenis filem yang berbeza. Kita akan menyaksikan filem yang sama, pengarahan seni yang sama, kreativiti yang sama dalam ruang seni kita di Malaysia terutamanya dalam industri perfileman.

“Kami menukar kerajaan dua kali dan kerajaan ini sepatutnya progresif tetapi kami masih melihat hukuman terhadap wacana kreatif di sini.

“Jika ini cara kami bertindak atas kreativiti, kami tidak akan berkembang. Kami akan dihidangkan dengan jenis seni yang sama untuk jangka masa yang panjang,” kata aktivis itu yang enggan dikenali.

Pada minggu lalu, Bukit Aman merakamkan kenyataan Khairi, Arjun dan beberapa pelakon lain berhubung filem itu.

Peguam Zaid Malek, yang mewakili Khairi dan Arjun, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bagi kenyataan yang membawa kepada kecemasan dan keresahan awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 untuk penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Mentega Terbang, yang membincangkan persamaan dan perbezaan agama utama di Malaysia, mendapat kritikan daripada orang ramai dan juga artis. Filem ini tersedia untuk tontonan dalam talian sejak 2021.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata platform penstriman Viu mengeluarkan filem itu pada 27 Februari.

SKMM berkata pihaknya komited untuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau sebarang kandungan yang bercanggah dengan ajaran Islam. – 17 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen