Bukit Aman ambil keterangan pengarah, pelakon filem Mentega Terbang


Platform penstriman Viu menghentikan tayangan filem Mentega Terbang pada 27 Februari lalu.  – Gambar Facebook, 10 Mac 2023.

PENGARAH dan pelakon filem ‘Mentega Terbang’ hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan.

Pengarah Khairi Anwar Jailani dan pelakon Arjun Thanaraju diminta hadir berhubung kontroversi yang dicetuskan filem itu, yang didakwa mempersenda dan boleh memesong akidah umat Islam.

Khairi Anwar dilapor media sebagai berkata mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjawab semua soalan diajukan polis.

Beliau selain itu berkata pembikin filem harus diberi kebebasan untuk menonjolkan kreativiti mereka.

“Tugas kami sebagai pembikin filem adalah untuk mengetengahkan isu semasa, dan kebebasan bersuara kami tidak seharusnya dikawal,” katanya seperti dilapor FMT.

Peguam Zaid Malek yang mewakili Khairi dan Arjun berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan suasana tidak harmoni, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Filem Mentega Terbang yang disiarkan secara percuma di platform penstriman digital mendapat bantahan orang ramai kerana didakwa menyentuh perbezaan agama dan mempersenda Islam.

Ia ditayangkan secara dalam talian menerusi platform Viu bermula 19 Januari lepas, memaparkan kisah seorang wanita Bernama Aisyah yang mencari jawapan kepada apa yang berlaku selepas kematian.

Filem itu memaparkan watak utamanya belajar beberapa agama bagi mendapatkan jawapan kepada persoalannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar awal bulan ini berkata kandungan filem Mentega Terbang jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dengan penerbitan filem itu untuk urusan selanjutnya.

SKMM memaklumkan platform penstriman Viu telah menghentikan tayangan filem Mentega Terbang pada 27 Februari lalu. 

Bukit Aman awal minggu ini mengesahkan sebanyak lapan laporan polis diterima di seluruh negara dengan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung filem itu. – 10 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen