Menteri bidas kerajaan terdahulu gagal haramkan filem Mentega Terbang 


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu gagal mengambil tindakan terhadap penerbitan filem Mentega Terbang yang mengundang kontroversi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2023.

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu gagal mengambil tindakan terhadap penerbitan filem Mentega Terbang yang mengundang kontroversi baru-baru ini.

Menurutnya filem bebas terbitan tempatan itu disiarkan pada Viu 2021, semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“Siapa mentadbir waktu itu? Mengapa tak ada tindakan? Ini bukan perkara baru. Tak dapat diselesaikan dulu, kita kena selesaikan.

“Serahkan kepada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) untuk buat siasatan, dan jika ada tindakan yang diambil, saya percaya pihak berkuasa akan ambil,” kata Fahmi ketika sidang media selepas menghadiri satu majlis di UiTM Shah Alam hari ini.

Mentega Terbang yang disiarkan menerusi platform perkhidmatan penstriman Viu mengundang kritikan umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur pluralisme agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati filem berkenaan bertentangan dengan akidah dan cara hidup umat Islam dari mazhab Syafie di Malaysia.

Mohd Na’iam berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan juga diminta memanggil pihak yang terlibat dalam penerbitan filem itu untuk prosedur susulan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan pengedaran sebarang kandungan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam, dan lebih teruk lagi, mengundang kontroversi dan menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia.

“Saya juga ingin menasihatkan golongan kreatif supaya lebih berhati-hati dalam menghasilkan dan mengedar kandungan kepada orang ramai agar matlamat kerajaan untuk Malaysia Madani dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan berkata Viu telah menurunkan filem kontroversi itu pada 27 Februari. – 5 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen