China sambung semula khidmat pengeluaran visa mulai esok


Agensi yang memeriksa serta mengeluarkan visa di luar China dan di pelbagai pintu sempadan akan meneruskan semula perkhidmatan masing-masing. – Gambar EPA, 14 Mac, 2023.

PEJABAT konsul Kementerian Luar China memaklumkan pengeluaran visa untuk warga asing akan disambung semula bermula esok (Rabu) dalam usaha mempermudah urusan keluar dan masuk ke negara itu.

Menurut kenyataan pejabat konsul, visa yang dikeluarkan sebelum 28 Mac 2020 dan belum tamat tempoh masih boleh digunakan.

Pada masa sama, agensi yang memeriksa serta mengeluarkan visa di luar China dan di pelbagai pintu sempadan akan meneruskan semula perkhidmatan masing-masing.

Dalam pengumuman itu, China akan menyambung semula kemasukan tanpa visa kepada pelancong asing dari sebahagian negara yang memasuki wilayah Hainan, rombongan pelancong asing yang menaiki kapal pelayaran Shanghai dan rombongan pelancong asing yang masuk ke wilayah Guangdong dari wilayah Hong Kong dan Macau.

Sementara itu, China turut menyambung semula kemasukan tanpa visa kepada pelancong dari negara ASEAN yang memasuki bandar Guilin di wilayah Guangxi. – Bernama, 14 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen