Semak semula proses visa pelajar antarabangsa, gesa universiti Australia


Sistem semasa yang rumit menyaksikan Australia kini ketinggalan di belakang, menurut laporan dikeluarkan badan yang mewakili pengajar pengajian tinggi Australia. – Gambar AFP, 20 Disember, 2022.

UNIVERSITI-UNIVERSITI di Australia menggesa supaya proses visa untuk pelajar antarabangsa yang ketat disemak semula, lapor Xinhua.

Dalam laporan dikemukakan kepada jawatankuasa parlimen yang mengkaji sistem migrasi Australia, badan yang mewakili pengajar pengajian tinggi Australia itu menyatakan bahawa sistem semasa yang rumit menyaksikan Australia kini ketinggalan di belakang.

Ketua Eksekutif Universiti Australia Catriona Jackson berkata kini terdapat lebih 100 subkelas visa yang disifatkannya tidak lagi sesuai.

Universiti di Australia adalah antara peneraju dunia dari segi jumlah pelajar antarabangsa.

Namun menurut Universities Australia, kurang daripada satu pertiga graduan antarabangsanya menggunakan permit kerja selepas tamat pengajian mereka dan hanya 16 peratus menjadi pemastautin tetap.

“Ini tidak menghairankan memandangkan sistem kami mempunyai banyak halangan berbanding di pintu masuk, termasuk masa menunggu yang dilanjutkan, kurangnya ketampakan status permohonan selain tiada kepastian untuk pelajar dan kakitangan yang berpotensi.

“Pada masa yang sama pesaing global kami meningkatkan pengambilan graduan antarabangsa dalam gabungan migrasi mereka bagi mengiktiraf sumbangan penting yang mereka lakukan. Australia semakin ketinggalan,” kata Jackson dalam laporan itu.

Badan itu membuat lima cadangan perubahan termasuk memberikan visa sementara secara automatik kepada semua pelajar antarabangsa yang lulus dari universiti Australia dan menaik taraf proses pelaporan untuk memberikan pemohon maklumat terkini tentang status visa mereka.

Ia juga meminta sistem keutamaan yang serupa dengan Kad Hijau Amerika Syarikat, dilaksanakan bagi membolehkan pekerja keutamaan menerima kelulusan sebagai pemastautin tetap dengan segera.

Semakan komprehensif itu dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri Clare O’Neil, dijangka menyerahkan laporan akhirnya pada Februari. – Bernama, 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen