SYARIKAT monopoli bayaran tol Touch n’ Go (TNG) dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung satu sistem pembayaran baharunya yang bermasalah, kata menteri kos sara hidup Salahuddin Ayub.
Katanya, ia ekoran pelbagai aduan yang diterima dari pengguna berhubung kad prabayar Visa TNG yang tidak boleh digunakan untuk membayar tol dan tambang pengangkutan awam.
“Saya telah menerima banyak aduan berkenaan perkara ini dan saya telah maklumkan bahagian penguatkuasa untuk meneliti isu ini dengan serius.
“Pihak penguatkuasa akan memanggil Touch n’ Go untuk hadir dan memberi penjelasan kepada KPDN (pagi ini),” katanya dalam kenyataan di Twitter.
Saya telah menerima banyak aduan berkenaan perkara ini dan saya telah maklumkan Bahagian Penguatkuasa untuk meneliti isu ini dengan serius.
Pihak Penguatkuasa akan memanggil Touch n’ Go untuk hadir dan memberi penjelasan kepada KPDN esok pagi. pic.twitter.com/WSa51CTcVk— Salahuddin Ayub (@MyDSA_official) January 19, 2023
Beliau menyatakan demikian selepas TNG mengakui kad baharu dengan sistem bayaran Visa itu tidak boleh digunakan untuk bayaran tol dan tambang pengangkutan awam.
Laporan media semalam menyebut, TNG mengesahkan masalah itu berkaitan dengan integrasi kemudahan Visa Paywave dengan teknologi NFC.
Penggunaan kad Visa TNG itu sepatutnya memberi satu saluran baharu kepada pengguna yang sejak sekian lama terbeban dengan kesesakan lalu lintas ekoran pelbagai masalah bayaran tol.
Namun tanpa kebolehan untuk membayar tol dan tambang pengangkutan, ia hanya boleh digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan lain yang tidak berkaitan dan pengeluaran wang.
Selain kad TNG Visa, syarikat monopoli itu menawarkan bayaran tol dengan lorong khas RFID dan Smart Tag yang turut menghadapi pelbagai masalah.
Pengguna antara lain menyebut, sistem RFID sukar mengesan kenderaan mereka yang sering menyebabkan kesesakan di lorong tersebut.
TNG juga menawarkan kad baharu dengan teknologi NFC bagi kegunaan di lorong tanpa RFID atau Smart Tag.
Pengguna bagaimanapun mengadu, kad yang hanya ditawarkan untuk jualan di pelantar Lazada sukar didapati kerana tiada stok.
Pengguna juga mengesyaki ia diborong oleh pihak lain yang menjualnya kembali di pelantar itu dengan harga berlipat kali ganda.
TNG juga meraih pelbagai kritikan kerana mengenakan kadar bunga sehingga 36% bagi pinjaman wang melalui satu lagi produknya, Go Pinjam. – 20 Januari 2023.
Komen