Trump bertanggungjawab dalam serangan Capitol, kata Pence


Bangunan Capitol AS di Washington yang mana berlaku rusuhan penyokong Donald Trump pada 6 Januari 2021. – Gambar fail EPA, 12 Mac, 2023.

BEKAS naib presiden Amerika Syarikat, Mike Pence berkata pada Sabtu sejarah akan membuktikan bekas presiden, Donald Trump bertanggungjawab susulan peranannya dalam serangan pada 2021 ke atas bangunan Capitol, lapor media AS.

Kenyataan itu mungkin menyebabkan perbalahan berlanjutan antara bekas rakan seperjuangan itu, sejak Pence enggan menuruti usaha Trump membatalkan keputusan pilihan raya 2020 dan kekal berkuasa.

“Presiden Trump melakukan kesilapan. Saya tidak ada hak untuk membatalkan pilihan raya dan kata-katanya yang dikeluarkan secara melulu membahayakan keluarga saya dan semua orang di Capitol pada hari itu.

“Saya sedar sejarah akan membuktikan Donald Trump bertanggungjawab,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam Gridiron tahunan di Washington, malam gala yang dianjurkan oleh wartawan dengan menjemput ahli politik terkemuka.

Sebahagian daripada ribuan individu yang menyerbu bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021 menggesa Pence dihukum gantung. Berikutan ancaman itu, beliau terpaksa mencari perlindungan di lokasi selamat.

Trump sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi penggal baharu sebagai presiden pada pilihan raya 2024 dan Pence menyatakan hasrat kemungkinan untuk mencabarnya mewakili Republikan.

“Saya sepenuh hati, tanpa ragu-ragu, menyokong calon Presiden Republikan pada 2024… mungkin individu itu saya sendiri,” katanya secara berseloroh.

Ketika mengakhiri ucapannya, Pence berkata, ada satu isu yang beliau tidak mungkin sesekali bergurau iaitu rakyat AS berhak mengetahui apa yang berlaku pada 6 Januari di Capitol.

“Namun, jangan sesekali tersilap, apa yang berlaku pada hari itu memalukan, ia mempersendakan kesopanan jika apa yang sebenarnya berlaku itu dinafikan,” katanya yang dipetik akhbar The Washington Post.

Kritikan pedas Pence yang ditujukan kepada Trump pada malam gala itu sesuatu yang di luar jangkaan. – AFP, 12 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen