Hakim putuskan Trump boleh didakwa kerana rusuhan Capitol


Penyokong Donald Trump merempuh masuk bangunan Capitol, tindakan yang dianggap banyak pihak digerakkan oleh usaha bekas presiden itu untuk terus kekal berkuasa. – Gambar AFP, 19 Februari, 2022.

DONALD Trump boleh didakwa kerana peranannya dalam serangan di US Capitol oleh penyokongnya, kata hakim pada Jumaat, memutuskan yang bekas presiden dari Republikan itu tidak mempunyai kekebalan presiden dalam kes itu.

Bekas presiden itu menjadi sasaran beberapa saman difailkan wakil rakyat dan polis yang menuduhnya secara langsung bertanggungjawab ke atas keganasan dicetuskan penyokongnya yang menceroboh Capitol pada 6 Januari 2021.

Seorang hakim di Washington, DC, memutuskan yang saman itu boleh diterima kerana tindakan Trump pada hari itu bukanlah “tindakan rasmi” dan “sepenuhnya berkisar kepada usahanya untuk terus kekal berkuasa bagi penggal kedua”, yang menurut hakim tidak termasuk dalam skop kekebalan presiden.

“Untuk menafikan kekebalan presiden daripada kerosakan awam bukanlah langkah kecil,” tulis Hakim Amit Mehta dalam penghakiman setebal 112 muka surat itu.

“Mahkamah sepenuhnya memahami kesan besar keputusan ini.”

Hakim berkata ucapan Trump kepada ribuan penyokongnya yang berhimpun di Washington sebelum serangan dibuat “secara berasasnya boleh dianggap sebagai seruan kepada tindakan kolektif”.

Sebaik sahaja Trump selesai berucap kepada penyokongnya, penceroboh yang membawa bendera “TRUMP 2020” berarak ke Mall yang menempatkan Kongres AS dengan ratusan daripada mereka menceroboh bangunan Capitol.

Pada masa sama, Trump menggunakan Twitter untuk mengecam Naib Presidennya Mike Pence kerana tidak menghalang pengesahan kemenangan pilihan raya Joe Biden, tindakan yang kata hakim mahkamah boleh dianggap sebagai “persetujuan” kepada tindakan mereka yang menceroboh Capitol.

Bekas presiden itu menjadi suspek utama tiga saman menuduhnya bertanggungjawab ke atas rusuhan di Capitol.

Peranannya pada hari rusuhan itu juga sedang disiasat jawatankuasa Dewan Perwakilan yang mempunyai ratusan dokumen, mesej dan testimoni yang didakwa ketua jawatankuasa cuba disembunyikan Trump.

Bekas presiden berstatus hartawan itu menyelar siasatan yang disifatkannya sebagai “mencari salahnya”. – AFP, 19 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen