Akaun Facebook Trump digantung 2 tahun


Facebook menggantung bekas Donald Trump untuk dua tahun kerana melanggar peraturan platform itu berkenaan insiden serangan penyokong bekas presiden itu di Capitol, awal tahun ini. – Gambar EPA, 5 Jun, 2021.

FACEBOOK menggantung bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk dua tahun, umum platform media sosial itu semalam.

Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook Nick Clegg berkata penggantungan bermula 7 Januari lalu, kerana Trump melanggar peraturan Facebook berkenaan insiden serangan penyokongnya di Capitol AS awal tahun ini.

Keputusan itu dibuat selepas panel pemantau bebas berkata penggantungan kekal yang dikenakan ke atas Trump sebelum ini perlu diteliti semula.

“Kami percaya tindakannya (Trump) serius, melanggar peraturan kami dan wajar dikenakan penalti maksimum di bawah penguatkuasaan protokol baharu,” kata Clegg dalam satu hantaran semalam.

Facebook juga memaklumkan tiada lagi imuniti akan diberi kepada ahli politik untuk memuat naik kandungan yang mengelirukan atau tidak wajar di platformnya.

Selain itu, Facebook akan meminta pakar menilai sama ada aktiviti bekas Trump di Facebook masih mencetus ancaman kepada keselamatan awam sebaik sahaja penggantungan bekas presiden itu tamat pada Januari 2023.

“Jika masih terdapat risiko serius kepada keselamatan awam, kami akan lanjutkan sekatan untuk tempoh tertentu dan terus membuat penilaian sehingga risiko itu berkurangan,” katanya.

Trump juga akan dikenakan beberapa sekatan yang boleh membawa kepada penggantungan kekal jika terus melanggar peraturan Facebook selepas penggantungannya tamat, tambah Clegg.

“Kami tahu kami akan dikritik banyak pihak, tetapi kami membuat keputusan seadil mungkin, selaras dengan  arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawasan Facebook.” – AFP, 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen