PAS, Bersatu Pulau Pinang capai persefahaman pembahagian kerusi


Pemimpin PAS Pulau Pinang berkata, baki 25 lagi kerusi DUN di negeri itu masih di peringkat perbincangan dengan Gerakan dan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2023.

PAS dan Bersatu Pulau Pinang setakat ini mencapai persefahaman dalam soal pembahagian 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu yang mempunyai lebih 50% pengundi Melayu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff bagaimanapun berkata, baki 25 lagi kerusi DUN di negeri itu masih di peringkat perbincangan dengan Gerakan serta Bersatu dan ia akan dimuktamadkan sebelum pembubaran DUN Pulau Pinang.

“Lima belas kerusi itu untuk PAS dan Bersatu, berapa yang kami (PAS) akan bertanding itu kita akan umumkan nanti.

“Apa yang kita bincangkan dan capai persefahaman ini juga diketahui pucuk pimpinan atasan, tiada masalah berhubung pembahagian kerusi majoriti pengundi Melayu di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas PAS Pongsu Seribu di Kepala Batas malam ini.

Muhammad Fauzi berkata PAS juga bersedia memberi laluan kepada calon Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) untuk baki 25 lagi kerusi itu dan pihaknya percaya Gerakan serta Bersatu juga mempunyai cadangan mereka untuk kerusi berkenaan.

PAS bersama Gerakan dan Bersatu juga membincangkan mengenai kerusi campuran dan juga kerusi strategik yang bakal ditumpukan dalam PRN akan datang ini.

Selain itu, katanya parti berkenaan juga mempunyai senarai calon yang akan bertanding pada PRN nanti dan ia merangkumi golongan muda dan tua termasuk muka baharu serta muslimat.

Katanya semua nama calon PAS dikemukakan oleh kawasan masing-masing kepada PAS Pulau Pinang dan seterusnya keputusan akhir calon akan ditentukan Majlis Syura Ulamak PAS. – Bernama, 11 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen