Cederakan pembantu rumah, 'Datin' dikenakan bon berkelakuan baik


SEORANG suri rumah bergelar Datin dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozita Mohamad Ali selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan  pindaan terhadapnya dibacakan semasa perbicaraan kes itu hari ini.

Rozita, 44, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di Petaling Jaya, antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Kes itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara di Petaling Jaya oleh pengawal keselamatan, menjadi tular di media sosial.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dalam busana berwarna merah jambu itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, V. V. Suloshani memohon hukuman pemenjaraan setimpal dengan alasan kes ini mendapat liputan meluas media antarabangsa selain video rakaman itu tular di media sosial.

“Hal ini menyebabkan imej negara kita tercemar di mata dunia, tambahan lagi ia telah menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

“Selain itu, kes ini juga merupakan antara sembilan kes penderaan pembantu rumah paling tragis di negara kita, hanya hukuman penjara yang setimpal bagi perbuatan keji yang semakin berleluasa ini,” kata Suloshani.

Sementara itu, peguam tertuduh, Rosal Azimin Ahmad memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atas alasan anak guamnya telah insaf atas perbuatannya serta mengalami tekanan yang melampau sejak didakwa di mahkamah.

Tertuduh membayar jaminan itu. – Bernama, 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen