Imam terbang


Faisal Tehrani

Antara babak dalam filem Imam yang diadaptasi daripada novel karya Abdullah Hussain.

SATU proses seni yang saya rasa sangat sukar tentulah melakukan adaptasi. Yang saya maksudkan ialah mengadaptasi sebuah karya seni seperti novel, cerpen, atau drama pentas ke medium filem. Saya tahu kesulitan itu kerana pernah mengadaptasi novelet Shahnon Ahmad dengan judul Tivi ke pentas. Tivi di wadah pentas, dilakonkan antara lain oleh bintang filem Anwar, iaitu Farid Kamil.

Salah satu tips adaptasi yang berjaya, ialah, memilih sebuah karya yang memang asalnya sudah ada kejelasan konsep cerita. Ini bermakna, di peringkat karya asal ia bukan sahaja mesti agung atau unggul sebagai sebuah teks sastera, tetapi ia ada konsep. Bahasa mudahnya, ia ada cerita.

Ada banyak novel yang bagus, tetapi tiada cerita yang utuh. Magis sebuah karya sastera dengan magis sebuah filem berbeza meskipun kedua-duanya menyampaikan cerita.

Untuk sebuah adaptasi itu berjaya, seseorang yang melakukan pemindahan karya dari medium kertas ke layar haruslah berhati-hati; dan hukum pertama yang mesti dipenuhi ialah menetapkan tujuan, objektif, atau misi akhir karektor sembari mengenali apa yang mewakili kejayaan seseorang protagonis.

Kalau dalam Lord of the Rings sebagai misalan, sasaran akhir wataknya ialah membawakan sebentuk cincin dan melemparkannya ke dalam lahar di puncak gunung berapi. Jika adaptasi Batman pula, dari komik ke layar sasaran terakhirnya ialah mematahkan apa sahaja cubaan Joker, antagonisnya. Sebagai audien kita tahu matlamat wira sesebuah cerita.

Dalam novel Imam, objektif Imam Mihad sebetulnya tidak jelas. Kita mungkin menghujahkan matlamat akhirnya ialah melakukan reformasi dalam amalan beragama di kampungnya. Akan tetapi barang diingat, terdapat banyak ambiguiti pada watak Imam Mihad dalam novel tersebut.

Kekuatan novel Imam juga pada wacana, dan bukan pada cerita. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan Imam Mihad yang mewakili Kaum Muda, atau memihak kepada Haji Syamsuri yang diberi gambaran buruk selaku golongan tradisionalis Kaum Tua; itu soal lain.

Novel Imam adalah karya debat, dan ia tidak semestinya hebat.

Karya debat, karya hebat

Itu sebab dalam novel yang menganjur masa panjang dan malah ada aneka watak wira, seorang pengadaptasi hanya perlu menumpu kepada seorang watak terpilih. Malah, ia tidak semestinya watak utama. Filem Imam misalnya boleh dikerjakan tanpa pun menghadirkan watak Imam itu sendiri. Yakni Imam itu dighaibkan.

Adaptasi boleh sahaja memilih jalan canggih dengan menampilkan protagonisnya sebagai Aishah, atau Rubiah.Kedua-dua watak ini ada kompleksiti yang sayangnya tidak dipugar dengan bersungguh-sungguh. Tinggallah watak wanita yang kuat menjadi longlai di hujung filem.

Dalam adaptasi, penonton ingin melihat ‘gol’. Jika ada ‘gol’ maka lakon layar itu padat.

Jika seseorang yang melakukan adaptasi memilih teks yang sukar dan abstrak, atau dalam erti kata lain, tidak ada kejelasan matlamat akhir pada protagonisnya, risiko untuk menggarap karya yang baik sentiasa ada.

Hukum kedua melakukan adaptasi setelah memilih karya yang wataknya ada gol akhir ialah, untuk akur yang filem itu mestilah setia kepada layar, dan bukan kepada pengarang, atau naskah asal.

Karya-karya adaptasi yang baik mempersetankan naskah asal. Kita ambil adaptasi novel ke filem oleh U-Wei Haji Shaari iaitu Jogho (dari Juara karya S. Othman Kelantan), atau Kaki Bakar dari kerja William Faulkner, Barn Burning. U-Wei masih raja adaptasi.

Membaca sesebuah naskah dengan menonton adalah dua perkara berbeza. Kedua-duanya beroperasi bawah hukum-hakam atau formula yang lain. Dalam banyak keadaan, bahasa indah, wacana sedap, dan emosi pada naskah akan dipindahkan ke filem atau layar dengan mengambil kira aspek lain.

Apa yang kedengaran lucu di pentas tidak mesti lucu di layar misalnya. Apa yang mengacau atau merangsang pemikiran (kerana ada wacana menggugah) dalam novel atau drama, tidak pula akan mengasak minda di medium layar.

Sang pengadaptasi hanya perlu memuaskan penonton. Pembaca asal naskah tidak perlu dipertimbangkan. Tugas pengadaptasi ialah menjayakan adaptasi meskipun ia bermakna mengubah, menggugur, menggunting atau menambah bahagian-bahagian yang digemari ramai dari naskah asal.

Imam tidak menempuh proses-proses di atas.

Kacau

Adaptasi novel ke filem Imam mengalami kekacauan. Di beberapa tempat ia hilang arah. Watak-watak yang ramai tidak ditajamkan. Motivasi musuh Imam Mihad selain Haji Syamsuri agak lemah. Terdapat watak dari novel tidak ada keperluan dibangunkan kerana hanya menambahkan kekeliruan buat penonton.

Terangkatnya kening watak tertentu kadang menimbulkan persoalan, ‘kau dah kenapa?’. Adaptasi yang baik ialah yang berdiri sendiri dan tidak mengandaikan audien pernah membaca mana-mana karya agung sekalipun.

Karyawan filem Imam terlupa, mereka membuat persembahan untuk penonton yang mungkin tidak ada pengetahuan langsung tentang novel Imam, atau Abdullah Hussain. Itu bahkan satu kesempatan yang perlu diambil, dan bukan dipersiakan. Penonton sifar pengetahuan boleh dieksploit untuk kejayaan sebuah filem; ambil sahaja kejahilan penonton Mat Kilau.

Oleh sebab adaptasinya tidak menimbangkan gol sebenar Imam Haji Mihad, ada simbolisme dalam novel yang dipindah ke layar agak mengganggu objektif protagonisnya.

Jika syahid adalah satu gol atau sasaran, ia harus ditaji dari awal. Jika kejayaan reformasi beragama untuk sebuah komuniti itu gol akhirnya, maka adegan masjid roboh di kala jenazah Imam hendak disembahyangkan sewajarnya diabaikan.

Dek kerana tiada ketajaman watak Imam Haji Mihad ini, lakonan M. Nasir sebagai Imam juga serasa hambar. Dialog-dialog bahasa Arab antara beliau dan Haji Syamsuri sebagai misalan menunjukkan prioriti telah tenggelam dek aspek kekaguman naskah (yang dikemukakan semula di novel).

Seperkara lain yang merosakkan Imam ialah muzik atau skor. Boleh dikatakan muzik latar dalam Imam ada sepanjang masa, sehingga menindih dialog dan aksi. Jika muzik iringan itu cocok dengan jalan cerita tidak mengapa, pada banyak masa ia tidak menerjemahkan semangat Imam atau watak-wataknya.

Kesan yang saya alami ialah latar muzik sepanjang masa ini menunjukkan tiadanya pengarahan yang jelas kepada penata muzik. Seolah-olah kedua-duanya bekerja secara terpisah. Kenapalah begitu.

Mujurlah lagu rasmi filem Imam nyanyian M Nasir menjadi-jadi juga sebagai halwa telinga.

Penataan seni dan busana nampaknya berusaha sedaya upaya mengangkat era tahun 1980an. Sebagai seseorang yang menempuh dan mengalami dekad tersebut, saya harus katakan ada dua tiga tempat ia berjaya membangkitkan emosi dan nostalgia lalu. Meskipun di beberapa adegan lain ia dirosakkan oleh ‘over representation’ seraya meruntuhkan mood saya.

Apa yang menyedihkan ialah filem Imam tidak mendapat sambutan seluar biasa Mat Kilau. Padahal tujuannya sama, iaitu membangkitkan emosi dan merangsang memori audien Muslim, tidak kiralah dia Dayak Muslim atau Melayu Muslim.

Hujung-hujungnya Islam Progresif bawaan Imam Haji Mihad roboh sekali dengan masjidnya. Padahal itulah puncak dan lambang utama Imam. Kekuatan Imam bukan pada Imamnya, tetapi seharusnya masjidnya. Inilah yang saya maksudkan sang pengadaptasi tidak mengenal gol atau objektif akhir karya.

Filem Imam adalah filem ideal di mata Jabatan Kemajuan Agama Islam tentunya, tetapi untuk pengamat filem yang jujur, rumusan yang dapat kita ambil — Imam terbang. Imam Haji Mihad (dalam filem) gagal dalam melakukan reformasi.

Oleh sebab Imam gagal melakukan reformasi, saya juga tertanya-tanya untuk apa ABIM menjadi rakan strategik. 

Wallahu’alam bissawab. – 7 Mac, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen