Mahkamah tinggi tolak permohonan 4 Adun halang usul kosongkan kerusi


MAHKAMAH Tinggi George Town hari ini menolak permohonan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar.

Kesemua Adun terbabit yang juga plaintif ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan dalaman Parlimen atau mana-mana DUN.

Beliau berkata mahkamah perlu sentiasa mengiktiraf doktrin pengasingan kuasa.

“Imuniti ini timbul daripada doktrin pengasingan kuasa antara tiga organ utama kerajaan iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

“Jika ketiga-tiga cabang ini dibiarkan akan berlaku pertembungan yang boleh memusnahkan doktrin pengasingan kuasa yang mampu menjejaskan kebebasan ketiga-tiganya mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam penghakiman yang disampaikan melalui e-mel. 

Azizan juga berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk memberikan injunksi bagi menghalang mana-mana pihak berkuasa daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang namun pada masa sama, mahkamah juga perlu berhati-hati untuk tidak melangkaui bidang kuasa yang diberikan.

Beliau berkata plaintif meminta mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menghalang tugas badan lain iaitu DUN yang juga diwujudkan di bawah Perlembagaan Negeri.

“Permohonan plaintif ialah untuk menghalang bidang kuasa defendan (DUN Pulau Pinang dan Speaker DUN Law Choo Kiang) yang dengan jelas dinyatakan adalah hak eksklusif mereka,” katanya.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan yang akan melangkaui bidang kuasa mahkamah dan mana-mana isu berkaitan kelayakan atau hilang kelayakan sebagai Adun yang dipilih melalui proses pilihan raya yang sah di bawah bidang kuasa DUN sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Negeri.

Mengenai isu status quo Azizan berkata kesemua plaintif masih Adun sehingga keputusan dibuat oleh defendan dan sehingga usul itu dibentang, dibahas dan diundi (disokong dan diluluskan), kelayakan serta kedudukan mereka adalah tidak terjejas. 

Beliau berkata mahkamah hanya boleh mempertimbang isu bagi status quo plaintif dikekalkan atau dikembalikan hanya jika terdapat keputusan bahawa status quo kesemua plaintif berubah atau dibuang.

Justeru katanya plaintif gagal menunjukkan injunksi perlu diberikan dan menolak permohonan mereka tanpa kos selepas mengambil kira fakta bahawa kes itu membabitkan kepentingan awam.

Pada 20 Januari lepas Azizan menolak saman keempat-empat Adun terhadap kedua-dua defendan berhubung usul yang diperkenal pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing. Mereka kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 25 Januari lepas.

Pada 16 Disember 2022 Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan keempat-empat Adun bagi mendapatkan kebenaran mencabar kelayakan DUN Pulau Pinang meluluskan undang-undang anti lompat parti dan memerintahkan agar kes itu didengar berkaitan isu merit di Mahkamah Tinggi.

Adun terbabit memfailkan sama pada 2020 bagi mencabar keperlembagaan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan menghalang kerusi mereka daripada diisytiharkan kosong selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 14A(1).

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau dipilih selain sebagai calon parti politik menyertai parti politik lain. – Bernama, 2 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen