Anwar Ibrahim memimpin Asean


Faisal Tehrani

Asean harus bergerak semula ke tengah dalam mendepani cabaran semasa, keterperukan akibat pandemik dan persaingan geopolitik yang semakin sengit dan keras. – Gambar AFP, 2 Mac, 2023.

BARU-BARU ini tatkala berada di kota Singa, saya berpeluang berbual dengan seorang diplomat ternama dari salah sebuah negara di Asia Tenggara.

Perbualan kami pada mulanya mengenai perkembangan politik di Malaysia, sebelum meluncur menjadi perbincangan mengenai peranan dan nasib Asia Tenggara secara keseluruhan di masa hadapan. Dalam hal ini, nama atau jenama Asean muncul beberapa kali.

Seharusnya Asean bergerak semula ke tengah dalam mendepani cabaran semasa, keterperukan akibat pandemik dan persaingan geopolitik yang semakin sengit dan keras, khusus antara Amerika Syarikat dan China semakin menggasak.

Penting untuk Asean kekal berada di tengah, dan ia harus dilakukan menerusi mekanisme sedia ada di bawah Asean (dan jika perlu diwujudkan wadah yang baharu). Antara mekanisme Asean yang berguna adalah EAS atau East Asia Summit, ARF atau Asean Regional Forum dan APT iaitu Asean Plus Three.

Dalam berdepan strategi kuasa besar di rantau Indo-Pasifik, ketegangan di Laut Cina Selatan dan pergelutan politik di Myanmar; Asean mesti kembali berada di tengah.

Pada masa sama, Asean juga perlu memperbaharui (atau kata masyhurnya: mereformasi) sekretariat Asean, Asean Coordinating Council, dan Asean Community Council termasuklah menyemak kembali dasar tidak masuk campur dalam hal urusan negara lain di Asean.

Salah satu caranya barangkali menaiktaraf dan mengiktiraf AICHR atau Intergovernmental Commission on Human Rights sebagai badan hak asasi manusia serantau. Ini akan membolehkan Asean memantau apa sahaja yang terjadi di Myanmar misalnya, dan juga negara anggotanya yang lain supaya apa sahaja perkembangan terkini tidak melimpah susahnya ke rantau ini.

Kita melihat bagaimana masalah Myanmar menyulitkan Malaysia. Negara lain pula khuatir lagi resah dengan kebangkitan kaum ekstremis Islam di Malaysia dan Indonesia. Yang mungkin merubah lanskap rantau ini sama sekali.

Asean juga perlu segera menerima masuk Timor-Leste, bukan sahaja negara itu sudah pun memenuhi semua syarat yang diletakkan oleh Asean sebagai anggota baharu, kita mesti sedar Timor-Leste sangat penting.

Asean perlu melihat Timor-Leste sebagai negara baharu yang boleh dituntun supaya matang dan maju bersama. Harus diingat Timor Leste jauh lebih kuat dari yang disangka, di mana ia boleh melupakan sejarah hitamnya dengan Indonesia, dan menyelesaikan krisis dalaman antara 2006-2008 tanpa memerlukan pihak lain.

Timor-Leste adalah pintu terbuka untuk bekerja dengan CPLP kerana ia adalah negara anggota Comunidade dos Paises de Lingua Portuguesesa (negara bertutur bahasa Portugis). Ia juga, meski kecil, adalah jendela untuk menahan penetrasi China ke rantau pasifik, khusus apabila China berlebih-lebih terhadap Kepulauan Solomon.

Dalam mendepani perangai China yang mengada-ngada dan berlagak abang, Asean sepatutnya memanfaatkan mekanisme CSP iaitu Comprehensive Strategic Partnership yang memberi status “rakan” kepada China dan Australia.

Jika sebelum ini Asean boleh memaksa China menerima Asean Outlook, kita juga sebenarnya boleh mendesak China menerima pakai satu kod tertentu (code of conduct) tatkala tentera laut atau udara China menggunakan perairan dan ruang udara antarabangsa di rantau ini (dengan cara biadab).

Apabila saya mengatakan Asean harus kembali di tengah, sayugia diingatkan yang Asean pernah dihormati kerana berupaya membantu Kemboja keluar dari kemelut. Yakni apabila negara itu menjadi medan perebutan Amerika Syarikat dan Sino-Soviet dalam tahun 1960-1970an. Asean jika kita imbas kembali, amat-amat relevan tatkala itu.

Apa yang menjadikan Asean gagal bertindak terhadap Myanmar hari ini ialah kerana Asean tiada kekuatan seperti dahulu, seperti dalam membantu Kemboja keluar dari krisisnya.

Asean misalnya wajar bersikap ketika militari mengambil alih kerajaan sivil Thailand yang direstui  rajanya. Ia adalah sebuah coup, dan Asean patut bertegas. Jika Asean bertegas ketika itu, tentu Myanmar yang degil juga dapat diwaraskan kerana sudah ada insiden pemula. Maka masalah Myanmar tidak sampai melimpah kepada negara anggota yang lain.

Asean juga seharusnya bersikap tatkala Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang merampas kuasa pada tahun 2020. Ini kerana dalam rantau Asia Tenggara, sedikit sebanyak Malaysia terlihat sebagai panduan. Krisis politik ekoran Langkah Sheraton itu menurut diplomat tersebut bukan sahaja melukakan Malaysia, tetapi tampaknya mencacatkan rekod baik negara kita di peringkat Asean.

Dalam 1980-an apabila Asean berjaya bersikap dalam isu Kemboja, masalah yang menimpa negara di Indo-China itu meski membuat kita pening kepala, tetapi mujurnya ia tidak berterusan. Hari ini apa sahaja masalah kita bermunculan dari tindak-tanduk junta tentera di Yangon.

Jika Asean mahu berada di tengah kembali, caranya ialah dengan menundukkan Jeneral Min Aung Hlaing dan memastikan kroni serta negara sekutunya seperti China untuk senonoh.

Sikap aktif dan giat sihat dalam diplomasi Negara Kesatuan Eropah boleh menjadi contoh dan model. Asean tidak boleh seperti sekarang.

Dalam kehidupan berjiran, ada kalanya kita perlu ikut campur tangan terhadap apa yang berlaku di sebelah. Ia adalah betul secara moral. Jika ia tidak ditangani atau ditegur, masalah jiran kita mungkin menjangkiti diri kita juga.

Akhir sekali Asean mesti bekerja dengan negara anggotanya dan memastikan pemimpin generasi baharu di rantau ini benar-benar menginspirasikan, demokratik dan mempunyai cita-cita untuk menumbuhkan Asia Tenggara secara harmoni agar kita maju dan berdaya saing secara bersama-sama.

Singapura misalnya secara jelas akan menurunkan kepimpinan kepada Lawrence Wong, sedang Malaysia masih berdepan dengan ancaman Abdul Hadi Awang yang tidak sudah-sudah meratib untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada bagi menutup busuk 33 bulan mereka terdahulu.

Populasi Asean kini mencapai 667.8 juta penduduk. Itu jumlah yang besar untuk berada di tengah dan berperanan dalam dunia global yang mencabar di masa hadapan. Apa yang menjadi inti perbualan saya dengan diplomat tersebut makin menarik ialah ternyata Asean juga kehilangan kepimpinan.

Yang membuatkan saya menelan liur dan senak perut ialah apabila beliau menyatakan meskipun Singapura mempunyai kekuatan kapital, dan Indonesia mempunyai potensi besar; Malaysia masih diperlukan sebagai pemimpin.

Asean menaruh harapan besar kepada kepimpinan sedia ada (baca: Kebangkitan Asia) untuk membawa retorik masa lalu itu yang menurut saya mesti diperbaharui dengan semua poin di atas. Kebangkitan Asia harus diganti dengan Sentraliti Asean.

Ini sewajarnya menjadi teras dasar luar negara Malaysia di bawah kerajaan perpaduan. Ini yang harus dijadikan KPI untuk Zambry Abdul Kadir, selaku Menteri Luar.

Menurut diplomat itu lagi, kekuatan kepimpinan Asean jatuh ke atas pundaknya Anwar Ibrahim. Beliau sangat berharap “Madani” yang digagaskan Anwar akan berjaya.

Untuk itu beliau menegaskan Malaysia harus merdeka dari rasuah dan korupsi. Manakala kelompok Islamis-Ekstremis mesti ditangani agar tidak menyulitkan masa depan rantau ini yang memang sudah cukup bermasalah. – 2 Mac, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen