SYARIKAT penerbangan tambang murah Hungary, Wizz Air mengumumkan penggantungan semua penerbangannya ke Moldova.
Ia berikutan kebimbangan selepas ketegangan semakin memuncak dengan Rusia.
“Disebabkan perkembangan terkini dan risiko tinggi, walaupun tidak akan berlaku, di ruang udara negara, Wizz Air mengambil keputusan yang sukar tetapi bertanggungjawab untuk menangguhkan semua penerbangannya ke Chisinau setakat 14 Mac,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Moldova, sebuah republik pro-Eropah dengan 2.6 juta penduduk yang terletak di antara Romania dan Ukraine, bimbang menjadi sasaran Moscow seterusnya sejak Rusia melancarkan serangannya di Ukraine setahun lalu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini negara calon EU itu melaporkan “cubaan untuk ketidakstabilan”.
Wilayahnya dilanda serpihan dari perang di Ukraine beberapa kali dan adakalanya Moldova menutup ruang udaranya sendiri semasa konflik Ukraine.
Moldova juga mengalami gangguan bekalan tenaga selepas Ukraine berhenti mengeksport elektrik kerana serangan udara Rusia ke atas infrastruktur penting.
Wizz Air adalah syarikat penerbangan pertama yang mengumumkan penggantungan penerbangan sedemikian.
Dua minggu lalu, Presiden Moldova, Maia Sandu menuduh Rusia merancang untuk menggulingkan kepimpinan pro-Eropah negara itu secara ganas dengan bantuan pensabotaj yang menyamar sebagai penunjuk perasaan antikerajaan.
Bagaimanapun Moscow menafikan dakwaan itu. – AFP, 28 Februari, 2023.
Komen