RAKYAT Moldova akan mengundi pada Ahad dalam pemilihan Parlimen yang diadakan oleh presiden baharu Maia Sandu untuk melemahkan kumpulan pro-Rusia.
Sandu, yang mahu membawa Moldova menyertai Kesatuan Eropah (EU), pada November mengalahkan penyandangnya yang disokong Kremlin, Igor Dodon, dengan janji memerangi rasuah di salah sebuah negara termiskin di Eropah itu.
Bersama-sama Ukraine dan anggota EU, Romania, Moldova telah lama berpecah antara hubungan rapat dengan Brussels atau dengan Moscow.
Ahli Parlimen yang setia kepada Dodon telah menyekat usaha reformasi Sandu, membuatkan bekas ahli ekonomi Bank Dunia itu membubarkan Parlimen pada April untuk mengadakan pilihan raya.
“Kami berpeluang singkirkan pencuri dan memilih kerajaan yang holistik dan baik,” kata Sandu dalam satu ucapan pada Khamis, berbicara dalam bahasa utama Moldova, Romania.
Dalam ucapan lain beliau berkata: “Masa untuk perubahan akan tiba di Moldova.”
Slogan itu menyentap kebanyakan rakyat Moldova, yang dalam beberapa tahun terakhir ini menyaksikan negara mereka dilanda krisis politik, termasuk skema penipuan bank bernilai AS$1 bilion yang setara dengan hampir 15 peratus daripada KDNK negara itu.
“Beliau betul-betul mahu ubah negara jadi lebih baik,” kata Natalia Cadabnuic, seorang penduduk Chisinau, kepada AFP.
Sandu, yang pernah memegang jawatan sementara sebagai perdana menteri, telah menjadikan ramai rakyat Moldova sebagai “simbol perubahan”, kata Alexei Tulbure, penganalisis politik dan bekas duta besar negara itu untuk PBB.
Menambah rakyat Moldova bosan dengan ahli politik yang korup, beliau berkata Sandu adalah yang pertama berhasil ke puncak sambil “menjaga reputasi kerana jujur.”
Parti Aksi dan Solidariti (PAS) kanan Sandu mendahului dalam pilihan raya.
Tinjauan terbaharu menunjukkan PAS mendahului dengan 35-37 peratus undi berbanding 21-27 peratus untuk saingan parti itu dari gabungan sosialis dan komunis yang diketuai Dodon dan bekas Presiden Vladimir Voronin.
Angka tersebut hanya merangkumi pengundi yang tinggal di negara berjumlah 2.6 juta orang.
Penganalisis berkata pilihan raya itu mungkin akan menjadi tamparan kepada Rusia, yang mahu Moldova terus berada dalam lingkungan pengaruhnya.
“Majoriti akan pro-Eropah, dan pengaruh Rusia akan lemah,” kata Sergiy Gerasymchuk, seorang pakar politik Moldova yang berpangkalan di Kiev.
Dodon yang menyebelahi Rusia menuduh pihak berkuasa pada Jumaat kerana “provokasi” dan menggesa para penyokongnya bersedia memprotes untuk “mempertahankan” kemenangannya.
20 parti dan dua blok pilihan raya bertanding dalam pilihan raya Ahad.
101 ahli Parlimen akan dipilih untuk penggal empat tahun. – AFP, 11 Julai, 2021.
Komen